LIMA’27 perkukuh Malaysia sebagai hab strategik industri pertahanan Asia Pasifik

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman (tengah) bergambar bersama rakan strategik pada majlis pelancaran rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di ibu negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA’27) dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik industri pertahanan, maritim dan aeroangkasa di rantau Asia Pasifik, sekali gus mengukuhkan peranan negara sebagai platform utama kerjasama dan inovasi dalam sektor berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran rasmi LIMA'27 memulakan persiapan penganjuran edisi ke-18 dan mengesahkan kesinambungan pameran dwitahunan.
  • LIMA menjadi platform strategik untuk diplomasi pertahanan, mempercepat inovasi teknologi, menggalakkan kerjasama industri dan membuka peluang ekonomi.
  • Edisi ke-18 berlangsung 20 hingga 24 April 2027, menyasarkan 930 pempamer, 450 delegasi rasmi, 400,000 pengunjung, 110 aset udara dan 90 aset maritim.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan LIMA 2025 telah mengekalkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah yang diyakini, sebagai antara pameran pertahanan, maritim dan aeroangkasa terkemuka dunia.

Teks ucapan beliau dibacakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman pada Majlis Pelancaran Rasmi LIMA’27 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, pelancaran LIMA’27 menandakan bermulanya persiapan rasmi bagi penganjuran edisi ke-18 pameran dwitahunan itu.

“Hari ini menandakan bermulanya satu lagi detik penting bagi Malaysia apabila kita secara rasmi memulakan persiapan bagi penganjuran edisi ke-18 LIMA, salah satu pameran maritim dan aeroangkasa paling berprestij di rantau Asia Pasifik.

“LIMA kini bukan lagi sekadar sebuah pameran. Sebaliknya, ia menjadi platform strategik yang memperkukuh diplomasi pertahanan antarabangsa, mempercepat inovasi teknologi, menggalakkan kerjasama industri serta membuka peluang ekonomi yang signifikan kepada Malaysia dan rakan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, bertemakan “Visi Kemampanan Merentasi Laut, Udara dan Angkasa”, LIMA’27 akan menjadi platform yang menghimpunkan kerajaan, pemain industri, pelabur, ahli akademik dan inovator bagi memperkukuh kerjasama strategik serta memacu pembangunan teknologi pertahanan, maritim dan aeroangkasa.

Sehubungan itu, beliau mengajak kerajaan, organisasi pertahanan, peneraju industri, pelabur dan inovator dari seluruh dunia untuk menyertai LIMA’27 di Langkawi.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuh kerjasama antarabangsa, memacu inovasi, menjana peluang ekonomi yang mampan serta membentuk masa depan yang lebih selamat, berdaya tahan dan makmur demi rantau kita,” katanya.

LIMA’27 edisi ke-18 dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 April 2027 di Langkawi, menyasarkan penyertaan 930 syarikat pempamer dari 36 negara, selain kehadiran lebih 450 delegasi rasmi mewakili 65 negara.

Penganjur turut menjangkakan kira-kira 400,000 pengunjung perdagangan dan awam menghadiri pameran berkenaan, yang akan menampilkan 110 aset udara serta 90 aset maritim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.