
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Operasi dan latihan di Kem Hobart, Kedah diteruskan seperti biasa meskipun kem berkenaan berdepan dua insiden ketika latihan yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan mencederakan dua lagi anggota baru-baru ini.
- ATM menilai dan menambah baik SOP pengendalian latihan termasuk fasiliti dan pemantauan di Kem Hobart untuk perkukuh keselamatan.
- Siasatan insiden sedang dijalankan; sebarang dapatan hanya akan diumumkan selepas proses siasatan selesai.
- Kebajikan keluarga anggota terkorban diberi perhatian termasuk memastikan bantuan, faedah dan hak disalurkan dengan sewajarnya.
- Lembaga Siasatan ditubuhkan untuk kenal pasti punca dan mengemukakan syor penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian berulang.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, latihan akan diteruskan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata, TDM pada masa sama sedang meneliti penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengendalian latihan, termasuk aspek fasiliti dan pemantauan di Kem Hobart, bagi memperkukuh tahap keselamatan.
“Kita akan melihat semula sama ada terdapat ruang untuk menambah baik SOP pengendalian latihan. Begitu juga dari segi fasiliti dan pemantauan di Kem Hobart, segala aspek yang perlu dipertingkatkan akan diberi perhatian.
“Bagaimanapun, perkara itu tidak menghalang kita daripada meneruskan latihan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan tempur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tan Sri Malek berkata, siasatan berhubung insiden berkenaan masih dijalankan dan sebarang dapatan hanya akan diumumkan selepas proses siasatan selesai.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga anggota yang terkorban terus diberi perhatian, termasuk memastikan segala bantuan, faedah dan hak yang layak diterima disalurkan dengan sewajarnya.
Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut dalam insiden letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Kedah.
Susulan kejadian itu, satu Lembaga Siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden serta mengemukakan syor penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Pada 29 Jun lalu, dua lagi anggota TDM cedera di bahagian lutut selepas dipercayai terkena serpihan objek yang melenting akibat masalah teknikal ketika latihan menembak menggunakan senjata mesingan di kem yang sama.