
PUCHONG, 7 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara antara November hingga Januari tahun depan menerusi penambahan aset darat dan udara.
- Perkukuh kesiapsiagaan JBPM melalui penambahan aset darat dan udara bagi meningkatkan keupayaan tindak balas.
- Lengkapkan 200 unit Kenderaan Operasi Ringan untuk pemantauan lebih dekat di kawasan berisiko.
- Perluaskan penggunaan dron termasuk jarak jauh untuk peninjauan awal, sekaligus mengurangkan kebergantungan aset udara berawak.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, JBPM dijangka melengkapkan 200 unit Kenderaan Operasi Ringan (KOR) di seluruh negara bulan ini bagi meningkatkan keupayaan pasukan membuat pemantauan lebih dekat di kawasan berisiko.
“Selain itu, jabatan berkenaan kini memiliki 26 unit dron yang digunakan untuk membantu pemantauan lokasi kebakaran. Sekali gus, mengurangkan kebergantungan terhadap aset udara bagi tujuan peninjauan dan perancangan operasi,” katanya.
“Dalam pada itu, JBPM akan menerima dua buah helikopter baharu sekitar penghujung November hingga Januari depan. Penambahan aset itu dijangka meningkatkan keupayaan pemantauan udara serta mempercepat operasi pemadaman kebakaran, khususnya di kawasan sukar diakses,” tambahnya lagi.
Tambah beliau, JBPM juga sedang mempertimbangkan penggunaan dron jarak jauh bagi melaksanakan peninjauan awal, terutama sekiranya berlaku kebakaran di kawasan yang luas.
Teknologi itu dijangka membantu pasukan operasi menilai keadaan kebakaran lebih awal sebelum tindakan pemadaman dilaksanakan.
Selain itu, persediaan turut melibatkan penyelarasan logistik bersama agensi lain bagi memastikan keperluan operasi dapat digerakkan sekiranya berlaku insiden.