Taufan Maysak badai Hainan, pengangkutan awam dan sekolah ditutup

Foto Reuters

HAIOU, 4 Julai – Taufan Maysak membadai wilayah Hainan di selatan China pada petang Jumaat yang membawa angin kencang serta hujan lebat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Taufan membuat daratan di pekan Yelin, Lingshui; angin maksimum sekitar 23 meter sesaat berhampiran pusat.
  • Semua perkhidmatan kereta api digantung; Lapangan Terbang Antarabangsa Sanya Phoenix hentikan operasi mulai 5 petang Jumaat.
  • Perkhidmatan feri merentasi Selat Qiongzhou dihentikan satu hingga dua hari bergantung cuaca.
  • Sekolah dan pusat jagaan di Sanya serta Ledong ditutup; ombak besar merosakkan sangkar ikan di Lingshui; penduduk dinasihat berwaspada.

Situasi itu sekali gus memaksa penggantungan perkhidmatan pengangkutan awam dan penutupan sekolah di beberapa kawasan.

Menurut Biro Meteorologi Wilayah Hainan, taufan ke-10 musim ini membadai daratan kira-kira pukul 6.20 petang di pekan Yelin, daerah Autonomi Lingshui Li, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 23 meter sesaat berhampiran pusatnya.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua perkhidmatan kereta api ke dan dari Hainan digantung pada Jumaat dan Sabtu.

“Manakala, Lapangan Terbang Antarabangsa Sanya Phoenix menghentikan operasi penerbangan bermula pukul 5 petang Jumaat,” menurut agensi itu.

Perkhidmatan feri yang menghubungkan Hainan dengan tanah besar China merentasi Selat Qiongzhou, turut dihentikan sejak awal pagi Jumaat dan dijangka kekal digantung selama satu hingga dua hari bergantung keadaan semasa cuaca.

Pihak berkuasa tempatan turut mengarahkan penutupan sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak di Sanya serta Autonomi Ledong Li, bagi menjamin keselamatan penduduk.

Di perairan Lingshui, ombak besar akibat taufan membadai sebuah pusat akuakultur laut dalam, menyebabkan sangkar ternakan ikan dipukul ombak kuat.

Pihak meteorologi menjangkakan ribut petir dan hujan lebat akan terus melanda kawasan Lingshui dalam beberapa hari akan datang, selain menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap cuaca buruk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.