Menara komunikasi terbakar: MCMC laksana mitigasi segera susulan gangguan di Padawan

Sebuah menara komunikasi komersial milik Sacofa Sdn. Bhd. di Kampung Semaru, Padawan,
Kuching terbakar pada 1 Julai  lalu

PADAWAN, 3 Julai Kebakaran sebuah menara komunikasi di Kampung Semaru di sini, Kuching pada Selasa lalu menyebabkan kira-kira 1,000 pengguna di beberapa kawasan sekitar terjejas perkhidmatan komunikasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC arah penyedia laksanakan mitigasi segera termasuk mengoptimumkan liputan sedia ada dan mengoperasikan PBTS sementara.
  • Pengguna dijangka mengalami gangguan perkhidmatan seperti kemerosotan liputan dan sambungan tidak konsisten.
  • Kawasan terjejas meliputi Kampung Semaru, Biya Parang, Sapit, Kiding, Pesang dan Subang.
  • Pengguna disaran guna kemudahan NADI terpilih; MCMC pantau dan bekerjasama dengan Sacofa, penyedia serta agensi; punca dalam siasatan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebakaran menara komunikasi komersial milik Sacofa Sdn. Bhd. itu dilaporkan berlaku pada 6.00 petang.

Menurut MCMC, pihaknya telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat melaksanakan langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pengguna.

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat supaya melaksanakan langkah mitigasi dengan segera, termasuk mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta mengoperasikan Portable Base Transceiver Statio (PBTS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sementara menunggu infrastruktur
yang terjejas dipulihkan sepenuhnya,” menurut MCMC.

MCMC memaklumkan punca kebakaran dalam siasatan pihak berkuasa

Menurut MCMC, pengguna di kawasan terlibat dijangka mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi termasuk kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan yang tidak konsisten.

Kawasan terjejas melibatkan Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang.

Dalam pada itu, pengguna terjejas disarankan menggunakan kemudahan di NADI Kampung Darul Islam Belimbing, NADI Kampung Bengoh dan NADI Kampung Braang Bayur bagi mendapatkan akses perkhidmatan komunikasi serta kemudahan digital berkaitan.

“MCMC akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan Sacofa Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan usaha pemulihan dilaksanakan dengan lancar, sekali gus mempercepatkan pemulihan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna yang terjejas,” menurut MCMC.

Tambah pihak itu, punca kejadian berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.