Semua negeri rekod pertumbuhan KDNK positif 2025

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Semua negeri merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada tahun 2025 dengan Johor mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 8.0 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang menyumbang 67.9% kepada KDNK negara.
  • Johor catat nilai ekonomi RM171 bilion, didorong pesat industri pusat data menyokong perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
  • Pulau Pinang kedua paling pantas, dipacu pembuatan khususnya produk E&E dan eksport E&E meningkat 28.2%.
  • Selangor kekal penyumbang terbesar, KDNK RM460.1 bilion, dipacu perkhidmatan, pembuatan, ekonomi digital dan logistik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Pulau Pinang turut merekodkan pertumbuhan mengatasi kadar nasional iaitu 7.3 peratus, diikuti Selangor 6.3 peratus dan Perak 5.7 peratus.

Beliau berkata, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan sumbangan keseluruhan sebanyak 67.9 peratus daripada KDNK negara.

”Johor mencatat nilai ekonomi RM171 bilion pada 2025 dengan sumbangan hampir 10 peratus kepada ekonomi negara. Prestasi negeri itu dipacu perkembangan pesat industri pusat data yang merangsang pertumbuhan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sektor perkhidmatan Johor berkembang 9.9 peratus, didorong subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang melonjak 20.8 peratus susulan pembangunan infrastruktur digital dan pengukuhan aktiviti logistik.

Sektor pembinaan pula berkembang 26.7 peratus, manakala sektor pembuatan meningkat 4.0 peratus hasil pertumbuhan industri produk elektrik, elektronik dan optikal.

”Pulau Pinang pula muncul sebagai negeri kedua paling pantas berkembang dengan KDNK bernilai RM130.3 bilion, dipacu sektor pembuatan yang berkembang 10.0 peratus, khususnya industri elektrik, elektronik dan optikal yang meningkat 12.7 peratus.

”Prestasi itu disokong peningkatan eksport elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 28.2 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab utama E&E negara,” tambahnya.

Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar ekonomi Malaysia dengan sumbangan 26.5 peratus dan nilai KDNK berjumlah RM460.1 bilion.

Pertumbuhan 6.3 peratus negeri itu dipacu sektor perkhidmatan dan pembuatan, termasuk perkembangan pesat ekonomi digital, pusat data dan aktiviti logistik.

Perak pula merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh sedekad pada kadar 5.7 peratus, disokong lonjakan 15.2 peratus sektor pembuatan, khususnya industri peralatan pengangkutan dan automotif.

Sementara itu, Kuala Lumpur kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara dengan nilai KDNK RM265.1 bilion selepas berkembang 5.2 peratus, didorong sektor perkhidmatan.

Menurut Datuk Seri Dr. Mohd Uzir, Sabah mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.1 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2024, hasil pemulihan sektor perlombongan dan pengkuarian serta pertumbuhan sektor pelancongan.

Sarawak pula berkembang 3.6 peratus dengan sektor perkhidmatan dan pertanian menjadi pemacu utama.

”Dari segi KDNK per kapita, enam negeri melepasi paras nasional RM59,167 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.