
WASHINGTON, 29 Jun – Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) tiba di Venezuela yang dilanda gempa bumi bagi membantu memperluaskan kapasiti operasi lapangan terbang serta membuka semula sebuah pelabuhan utama bagi menyokong penyaluran bantuan kemanusiaan, menurut kenyataan Komando Selatan AS (SOUTHCOM).
- Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar dibuka semula sebahagiannya; pasukan AS membantu tingkatkan kapasiti pengendalian penerbangan.
- 130 anggota Kor Marin AS dijangka tiba di La Guaira dalam 24 jam untuk buka semula pelabuhan dan salurkan bekalan kritikal.
- Pesawat C-130, MV-22 Osprey dan helikopter UH-1Y digunakan untuk pengangkutan, penghantaran bekalan dan penilaian udara kawasan terjejas.
Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di Caracas dibuka semula sebahagiannya pada Sabtu selepas mengalami kerosakan akibat dua gempa bumi yang melanda pantai utara negara itu pada Rabu lalu.
Seramai 100 anggota Tentera Udara AS yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan lapangan terbang bersama peralatan berkaitan tiba pada Ahad bagi membantu pihak berkuasa tempatan meningkatkan kapasiti pengendalian penerbangan keluar dan masuk.
Sementara itu, 130 anggota Kor Marin AS dijadual tiba di pelabuhan La Guaira yang terjejas teruk dalam tempoh 24 jam bagi membantu membuka semula pelabuhan berkenaan bagi membolehkan bekalan dan peralatan penting dapat disalurkan melalui jalan laut ke kawasan yang paling teruk terjejas.
Menurut SOUTHCOM, kelasi dan anggota Kor Marin dari kapal USS Fort Lauderdale turut menghantar bekalan ke pelabuhan La Guaira pada Ahad menggunakan sebuah kapal pendaratan.
Tentera AS juga mengerahkan pelbagai pesawat dan helikopter bagi menyokong usaha pemulihan di kawasan terjejas.
Sebuah pesawat kargo C-130 Hercules digunakan untuk mengangkut anggota dan peralatan, manakala pesawat MV-22 Osprey digunakan bagi menghantar anggota serta bekalan ke lokasi yang memerlukan.
Selain itu, helikopter UH-1Y Venom yang berpangkalan di USS Fort Lauderdale digunakan untuk menjalankan penilaian udara terhadap kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.
Jabatan Negara AS sebelum ini turut menghantar pasukan tindak balas bencana yang terdiri daripada lebih 250 anggota termasuk tiga unit khas mencari dan menyelamat bersama anjing pengesan bagi membantu mengesan mangsa yang masih terselamat.
Minggu lalu, Washington turut mengumumkan bantuan bernilai AS$150 juta kepada Venezuela bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan pascabencana. – AFP