Protes cetus ketegangan di Brussels

Antara mesej yang disuarakan penunjuk perasaan dalam protes di Brussels / REUTERS

BRUSSELS, 29 Jun– Tindakan menutup sebuah taman awam utama di Brussels bagi penganjuran sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) mencetuskan bantahan dalam kalangan penduduk tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekitar 200 penunjuk perasaan berhimpun di Taman Cinquantenaire dengan plakad menyuarakan ketidakpuasan.
  • Plakad berbunyi "Go Home", "No Fascism, No Imperialism" dan "Hands Off Our Parks" dipamerkan.
  • Extinction Rebellion Belgium berkata taman awam harus kekal terbuka semasa gelombang panas dan mengkritik kaitan acara dengan pentadbiran Trump.
  • Greenpeace memaparkan sepanduk gergasi di Grand Place, mengkritik perang, ekonomi dan krisis tenaga; sepanduk kemudian diturunkan pihak berkuasa.

Sekitar 200 penunjuk perasaan berhimpun di luar Taman Cinquantenaire sambil membawa pelbagai plakad dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penganjuran acara tersebut.

Antara mesej yang dipamerkan termasuk “Go Home”, “No Fascism, No Imperialism” dan “Hands Off Our Parks”.

Seorang jurucakap kumpulan Extinction Rebellion Belgium berkata, penutupan taman awam itu tidak wajar terutama ketika cuaca panas melanda Eropah.

Beliau turut mengkritik penganjuran acara berkenaan yang dikaitkan dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Kami tidak bersetuju taman awam ditutup kepada orang ramai selama beberapa hari.

Ia merupakan antara ruang hijau terbesar di Brussels dan sepatutnya kekal terbuka, terutama ketika cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, kumpulan Greenpeace turut mengadakan protes berasingan dengan memaparkan sepanduk gergasi di Grand Place, Brussels.

Sepanduk berkenaan memaparkan mesej mengkritik isu perang, ekonomi dan krisis tenaga, sebelum ia diturunkan pihak berkuasa.

Acara sambutan Hari Kemerdekaan AS itu diadakan sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara berkenaan di Taman Cinquantenaire yang ditutup sementara atas faktor keselamatan.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin antarabangsa termasuk Perdana Menteri Belgium, Setiausaha Agung NATO dan Presiden Parlimen Eropah. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.