Putin akui Rusia berdepan gangguan bekalan bahan api

Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan dan syarikat tenaga utama Rusia / REUTERS

MOSCOW, 29 Jun– Presiden Rusia, Vladimir Putin mengakui berlaku gangguan bekalan bahan api di beberapa wilayah negara itu ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk memastikan pengagihan bekalan bahan api domestik lebih stabil di seluruh negara.
  • Kapasiti operasi kilang penapisan ditingkatkan, tempoh penyelenggaraan dipendekkan dan kerja baik pulih ditangguhkan untuk elakkan gangguan.
  • Larangan sementara eksport petrol dan bahan api penerbangan dilaksanakan; cadangan perluasan sekatan eksport diesel sedang diteliti.
  • Pengeluaran bahan api dijangka meningkat mulai Julai; bekalan kepada sektor pertanian diberi keutamaan.

Susulan itu, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi memastikan bekalan bahan api domestik dapat diagihkan secara lebih stabil di seluruh negara.

“Perlu ada langkah tambahan untuk memastikan bekalan bahan api sentiasa stabil dan mencukupi.

Kita juga perlu mengurangkan kesan serangan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan dan syarikat tenaga utama Rusia.

Putin turut memaklumkan, beberapa langkah telah diambil termasuk meningkatkan kapasiti operasi kilang penapisan minyak.

Beliau berkata, tempoh penyelenggaraan juga dipendekkan, selain sebahagian kerja baik pulih ditangguhkan bagi memastikan pengeluaran tidak terganggu.

Menurutnya, pengeluaran bahan api dijangka meningkat mulai Julai berbanding bulan sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, Rusia turut melaksanakan larangan sementara eksport petrol dan bahan api penerbangan.

Selain itu, cadangan memperluas sekatan eksport diesel juga sedang diteliti oleh pihak berkuasa.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi pengguna dan perniagaan, termasuk kesesakan di stesen minyak serta cabaran kepada sektor pertanian.

Bekalan kepada sektor pertanian perlu diberi keutamaan,” katanya lagi.

Data Kementerian Tenaga Rusia menunjukkan, simpanan petrol ketika ini berada pada sekitar 1.7 juta tan.

Jumlah itu hampir menyamai paras sama tahun lalu, dengan penurunan kecil kira-kira empat peratus. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.