
PUTRAJAYA, 26 Jun – Kerajaan menyasarkan melahirkan 10 Syarikat Juara Bumiputera dengan nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta setiap satu menjelang 2028.
- Program GLIC membimbing syarikat Bumiputera berpotensi tinggi agar layak disenaraikan di Bursa Malaysia.
- GLC, GLIC dan Petronas akan menyumbang kira-kira RM50 bilion setahun bagi menyokong pembangunan Bumiputera.
- Sasaran 10 penyenaraian baharu bagi 2026-2027 ditetapkan, melepasi pencapaian lima tahun sebelumnya.
- GLIC menyasarkan pelaburan langsung RM2 bilion pada 2026 dan memperkenalkan garis panduan pembangunan vendor.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu akan membimbing syarikat Bumiputera berpotensi tinggi sehingga layak disenaraikan di Bursa Malaysia.
Tambahnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), GLIC dan Petronas akan terus menyokong agenda pembangunan Bumiputera dengan sumbangan kira-kira RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada 2025.
“Pada tahun ini, empat syarikat majoriti milik Bumiputera kini dalam saluran penyenaraian di Bursa Malaysia.
“Manakala, sasaran 10 penyenaraian baharu bagi tempoh 2026-2027 telah ditetapkan, mengatasi pencapaian sepanjang lima tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Selain itu katanya, GLIC menyasarkan pelaburan langsung RM2 bilion ke dalam syarikat Bumiputera pada 2026, disokong garis panduan baharu pembangunan vendor bagi memperkukuh kapasiti dan daya saing mereka.
Program 10 Juara Bumiputera bertujuan memacu pertumbuhan mampan dan memperkasa komuniti bumiputera, di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) dan sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI.