
PUTRAJAYA, 26 Jun – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing akan diadakan seawal minggu depan, bagi meneliti dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pekerja asing, termasuk sektor makanan dan minuman (F&B), menurut Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
- Mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
- Mesyuarat diadakan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk meneliti dan menyelesaikan isu pekerja asing.
- Fokus mesyuarat termasuk menangani isu pekerja asing dalam sektor makanan dan minuman.
- Kerajaan mengakui sektor tertentu berdepan cabaran tenaga kerja, terutamanya keperluan pekerja asing.
Beliau memaklumkan, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Mesyuarat akan memastikan isu berkaitan pekerja asing dapat diurus dan diselesaikan secara menyeluruh.
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya mesyuarat jawatankuasa Kabinet akan diadakan seawal minggu hadapan dan dipengerusikan oleh Timbalan perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bagi memastikan isu-isu ini dapat diuruskan dan diselesaikan, insya-Allah.
“Jadi bagi sektor-sektor yang sedang membangkitkan isu ini, khususnya pekerja asing, kita nantikan mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan memahami terdapat sektor tertentu yang sedang berdepan cabaran berkaitan keperluan tenaga kerja terutamanya melibatkan pekerja asing.