Pemerkasaan keselamatan antara faktor Malaysia naik ke tangga ke-12 GPI

Foto fail

KUALA LUMPUR, 26 Jun– Pemerkasaan aspek keselamatan dikenal pasti antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan AKPS memperkukuh kawalan sempadan darat, perairan dan udara, mengurangkan penyeludupan serta kemasukan PATI.
  • Kebebasan kehakiman dan reformasi institusi, termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara dan had dua penggal Perdana Menteri, disyor diperkukuh.
  • Usaha memperkukuh sistem pentadbiran dan perundangan perlu diteruskan untuk mengekalkan momentum peningkatan keselamatan negara.
  • Keamanan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum meningkatkan keyakinan ekspatriat dan pelajar asing untuk tinggal dan bekerja di Malaysia.

Berdasarkan laporan Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ke-12 dunia berbanding tahun lalu.

Pakar Undang-undang Perlembagaan dan Pentadbiran, Dr. Ikmal Hisham Md Tah berkata, penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut membantu memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.

“Pemerkasaan kawalan di sempadan darat, perairan dan udara memberi impak besar dalam membendung penyeludupan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Selain aspek keselamatan, kebebasan kehakiman dan reformasi institusi turut dilihat menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara.

Menurut Dr. Ikmal, usaha memperkukuh sistem pentadbiran dan perundangan perlu diteruskan bagi memastikan momentum itu dapat dikekalkan.

“Kerajaan perlu lebih aktif dan kritikal dalam melaksanakan reformasi sistem.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, peningkatan kedudukan Malaysia dalam GPI turut memberi keyakinan kepada ekspatriat dan warga asing untuk tinggal, bekerja serta melanjutkan pengajian di Malaysia.

Pelajar dari China, Tian Yi berkata, beliau berasa selamat sepanjang berada di Malaysia dan tidak bimbang terhadap keselamatan barangan peribadinya ketika berada di tempat awam.

“Saya berasa Malaysia sebuah negara yang selamat.

Saya juga berasa yakin meninggalkan barangan peribadi ketika berada di restoran atau berjalan di tempat awam,” katanya.

Seorang ekspatriat dari Nepal, Roshan Kafle pula berkata, tanggapannya terhadap tahap keselamatan Malaysia berubah selepas menetap dan bekerja di negara ini.

“Apabila berada di sini, saya mendapati Malaysia sebuah negara yang aman dan selamat untuk didiami serta bekerja,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi ekspatriat dari Bangladesh, Md Abu Hena berkata, keamanan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum menjadikan Malaysia sebuah negara yang kondusif.

“Selepas hampir lima tahun tinggal di Malaysia, saya melihat masyarakat pelbagai kaum hidup aman, saling menghormati dan menjadikan negara ini tempat yang sesuai untuk didiami,” katanya.

Malaysia kini berada di tangga ke-12 Indeks Keamanan Global 2026, sekali gus kekal dalam kelompok negara paling aman di dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.