
PUTRAJAYA, 26 Jun – Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kazan, Rusia dan Ashgabat, Turkmenistan baru-baru ini berjaya menghasilkan beberapa pencapaian strategik yang dijangka memperkukuh usaha pembangunan negara serta memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
- Perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel 20 tahun memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara.
- Petronas diberi hak mengusahakan dua telaga gas, meningkatkan peranan sebagai pengeluar besar dan sumber pulangan untuk rakyat.
- Pengumuman penurunan harga diesel memberi manfaat langsung kepada rakyat serta mengurangkan kos sara hidup.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan ke Kazan membawa kepada perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel bagi tempoh 20 tahun, sekali gus memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara.
Beliau berkata, lawatan ke Ashgabat pula menyaksikan Petronas diberi hak mengusahakan dua telaga gas, sekali gus mengangkat syarikat itu sebagai antara pengeluar gas terbesar dunia.
“Kejayaan ini bukan sahaja hasil komitmen Petronas yang telah beroperasi di Turkmenistan selama lebih 30 tahun, malah bakal memberi manfaat kepada rakyat melalui pulangan dan dividen yang akan disalurkan bagi menyokong pembangunan negara,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kedua-dua pencapaian berkenaan turut menjadi faktor yang membolehkan Perdana Menteri mengumumkan penurunan harga diesel pada 21 Jun lepas.

“Jadi kita lihat ketiga-tiga perkara ini mempunyai kesan, insya-Allah yang baik kepada ekonomi rakyat,” katanya.
Minggu lepas, Datuk Seri Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 di Kazan, dengan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Lawatan itu turut menyaksikan Malaysia dan Rusia bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga, perdagangan, pelaburan, pelancongan dan teknologi.
Selepas itu, Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Ashgabat, antaranya menyaksikan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan.
Perjanjian itu menyediakan platform bagi memperluas kerjasama dalam pembangunan medan gas Galkynysh, selain membuka peluang baharu dalam sektor hiliran termasuk penapisan minyak, pemprosesan gas dan bahan kimia gas.
Datuk Fahmi berkata, kejayaan aspek keterjaminan tenaga dan pengembangan operasi gas di Turkmenistan turut membolehkan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun lepas mengenai penurunan harga diesel.