
SAMARKAND, 8 Oktober – Sebanyak 24 projek perundingan bernilai hampir RM1.5 juta berjaya diperoleh Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), hampir 15 kali ganda berbanding sasaran RM100,000 yang ditetapkan.
- Pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi penjanaan pendapatan universiti melalui perkhidmatan perundingan, mengukuh kewangan, keterlihatan kepakaran dan reputasi UniSIRAJ.
- Permintaan datang daripada pihak seperti Tavekun Manufacturing, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs dan Ihsan Care Berhad.
- Perlu pemetaan kepakaran staf, pembangunan pakej perundingan tersusun dan peluasan jaringan strategik dengan korporat, agensi kerajaan dan NGO.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniSIRAJ bertitah, pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi penjanaan pendapatan universiti menerusi perkhidmatan perundingan.
“Pencapaian ini bukan sahaja menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kewangan universiti, malah meningkatkan keterlihatan kepakaran, jaringan strategik serta reputasi UniSIRAJ sebagai institusi yang mampu menawarkan penyelesaian berasaskan ilmu dan kepakaran kepada pihak luar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam yang dihoskan Timbalan Gabenor Wilayah Samarkand, Kobilov Rustam Rajabboyevich di Uzbekistan.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis berkenaan turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafedah Abdul Aziz.
Titah Tuanku Syed Faizuddin lagi, antara pihak yang mendapatkan khidmat kepakaran UniSIRAJ ialah Tavekun Manufacturing, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan Ihsan Care Berhad.
Baginda bertitah, perkhidmatan perundingan bukan sekadar menjadi medium pemindahan ilmu dan kepakaran, malah berkembang sebagai antara sumber penjanaan pendapatan yang berpotensi besar kepada universiti.
“Penglibatan staf akademik dalam projek berkenaan juga membuka ruang kepada kepakaran mereka diterapkan secara langsung bagi memenuhi keperluan sebenar organisasi, industri dan masyarakat,” titah Baginda.
Baginda turut menekankan keperluan memperkasa potensi itu menerusi pemetaan kepakaran staf secara lebih sistematik, pembangunan pakej perundingan tersusun serta peluasan jaringan strategik dengan sektor korporat, industri, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Langkah itu penting bagi memastikan perkhidmatan perundingan terus berkembang sebagai satu ekosistem yang bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan pendapatan, malah memperkukuh pemindahan ilmu, inovasi serta keterlibatan universiti dengan masyarakat dan industri.
UniSIRAJ merupakan institusi milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).