Belanjawan 2027: AMEC mahu sokongan perkukuh industri kurier

Foto hiasan / BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Belanjawan 2027 wajar menyediakan inisiatif yang dapat menyokong syarikat kurier untuk terus melabur, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh mutu perkhidmatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan berterusan untuk memastikan industri kurier kekal berdaya saing dan memenuhi permintaan ekonomi digital
  • Pemodenan melalui teknologi, peningkatan kecekapan operasi dan pembangunan tenaga kerja bagi mutu perkhidmatan
  • Fokus kepada liputan perkhidmatan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak supaya penghantaran meliputi seluruh negara
  • Pelaburan infrastruktur, kesiapsiagaan operasi dan perlindungan fizikal serta siber untuk kesinambungan rantaian bekalan semasa kecemasan

Menurut Presiden Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC), Ronald Tan, sokongan berterusan itu penting bagi memastikan industri kurier kekal berdaya saing, selain mampu memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna yang semakin berkembang dalam ekonomi digital.

“Ekonomi digital Malaysia bergantung pada rangkaian penghantaran yang boleh diharap.

“AMEC berharap Belanjawan 2027 akan menyokong pemodenan industri melalui penggunaan teknologi, peningkatan kecekapan operasi dan pembangunan tenaga kerja, bagi membantu syarikat kurier meningkatkan mutu perkhidmatan serta memenuhi jangkaan pelanggan yang berubah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, aspek liputan perkhidmatan di kawasan luar bandar juga perlu diberi perhatian bagi memastikan perkhidmatan penghantaran terus meliputi seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak.

“Pelaburan dalam pemodenan infrastruktur, kesiapsiagaan operasi serta perlindungan daripada risiko fizikal dan siber akan memperkukuh keupayaan ini,

“Langkah itu penting bagi meningkatkan rangkaian penghantaran yang selamat dan boleh dipercayai, terutama dalam memastikan kesinambungan rantaian bekalan serta penghantaran barangan keperluan ketika berlaku gangguan dan kecemasan,” katanya lagi.

Beliau berkata, AMEC menyokong libat urus berterusan bersama kerajaan dan pihak berkepentingan bagi membincangkan langkah praktikal untuk memperkukuh industri kurier.

Persatuan itu berharap inisiatif Belanjawan 2027 dapat disusuli pelaksanaan yang berkesan serta tindakan susulan yang jelas, sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan pengguna.

“Industri kurier yang kukuh bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, malah memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan komuniti di seluruh negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.