Rundingan damai Ukraine-Rusia dijangka sebelum musim sejuk

Foto AFP

EVIAN-LES-BAINS, 17 Jun – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan bahawa adalah sangat penting untuk pusingan rundingan seterusnya antara Ukraine dan Rusia diadakan sebelum tibanya musim sejuk ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden AS Donald Trump akan menentukan lokasi dan format rundingan antara Ukraine dan Rusia.
  • Trump menggesa kedua-dua pihak segera mencapai perdamaian dan berkata telah menghubungi Putin serta Zelensky.
  • Pembantu Presiden Rusia, Yuri Ushakov, berkata panggilan itu tidak membincangkan rundingan bersama dan tiada cadangan rasmi.
  • Rusia menunggu ketibaan utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, selepas MoU AS-Iran ditandatangani di Switzerland.

Menurut Zelensky, lokasi dan format rundingan berkenaan akan ditentukan sepenuhnya oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Kenyataan tersebut diulas beliau dalam satu temu bual di luar sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang berlangsung di sini.

Sementara itu, Presiden Trump ketika ditemui pemberita selepas sesi kerja G7 mengenai krisis Ukraine, menggesa kedua-dua belah pihak untuk segera mencapai perdamaian.

“Saya akan melakukan apa sahaja yang terdaya. Rusia sepatutnya membuat perjanjian untuk menamatkan perang ini,” ujar Trump.

Trump turut mendedahkan bahawa beliau telah menghubungi Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Zelensky secara berasingan sehari sebelum itu dan mendakwa kedua-dua pemimpin menunjukkan kesediaan untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

Bagaimanapun, situasi di pihak Moscow memperlihatkan senario berbeza.

Pembantu Presiden Rusia, Yuri Ushakov menjelaskan bahawa panggilan telefon antara Putin dan Trump langsung tidak menyentuh tentang kemungkinan mengadakan rundingan bersama Zelensky.

Malah, tiada sebarang cadangan rasmi dikemukakan kepada pihak Rusia setakat ini.

Ushakov menambah Rusia kini sedang menunggu ketibaan utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner ke Moscow untuk perbincangan lanjut.

Lawatan itu dijangka berlaku selepas AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Switzerland pada Jumaat ini.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.