JPJ Terengganu sita 93 kenderaan dipandu warga asing

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita 114 kenderaan sepanjang Ops Khas Penguatkuasaan Warga Asing (PEWA) yang dijalankan bermula 1 hingga 14 Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 93 kenderaan disita melibatkan pemandu etnik Rohingya tanpa lesen atau dokumen pemilikan sah.
  • JPJ mengeluarkan 529 saman sepanjang operasi atas pelbagai kesalahan jalan raya.
  • JPJ akan terus mempergiatkan operasi dan memandang serius penglibatan penduduk tempatan sebagai pemudah cara, termasuk kitaran lelong motosikal.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, dalam operasi itu sebanyak 529 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Tambah beliau, sebanyak 93 kenderaan yang disita melibatkan pemandu etnik Rohingya yang tidak mempunyai sebarang kelayakan memandu atau dokumen pemilikan kenderaan yang sah.

“Kadang-kadang kenderaan ini dipinjam atau disewa, namun ada juga dalam kalangan mereka yang membayar sejumlah wang kepada pemilik untuk membeli motosikal tersebut.

“Apabila kita sita dan lelong motosikal itu, pemilik asal akan menyertai lelongan dan membeli semula motosikal berkenaan sebelum menjualnya kembali. Ia menjadi satu ekosistem yang melibatkan bukan sahaja warga asing, malah penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops PEWA di Depo Simpanan Kenderaan JPJ Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Zamri berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.

Katanya, JPJ turut memandang serius penglibatan segelintir penduduk tempatan yang dipercayai menjadi pemudah cara dalam urusan pemilikan dan penggunaan kenderaan oleh warga asing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.