Perang tiket era digital: Antara peminat, scammer dan scalper

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan tinggi dan kelemahan sistem jualan digital membolehkan scammer dan scalper menembusi, meninggalkan peminat setia tanpa peluang mendapatkan tiket.
  • Penipu tawarkan servis berbayar lalu hilang, manakala pencatut jual semula tiket dengan harga berkali ganda, menyebabkan kerugian kewangan dan emosi peminat.
  • Tindakan tegas diperlukan: pengesahan identiti, kod ahli di bilik menunggu, had pembelian dan teknologi antibot untuk melindungi peminat.

Pengumuman kumpulan popular dari Korea Selatan, BTS ke Malaysia Disember ini bersempena dengan jelajah promosi kelahiran album terbaru mereka “Arirang” nyata telah memberi khabar gembira buat para peminat tempatan mereka yang lebih dikenali sebagai Army (Adorable Representative M.C. for Youth).

Kali terakhir kumpulan tersebut menjejakkan kaki ke Malaysia ialah pada tahun 2015, atau kira-kira 11 tahun lalu.

Bagi melancarkan pembelian tiket, pihak penganjur telah meletakkan tiga tarikh berbeza dengan memberi laluan kepada ahli kelab berdaftar Weverse, iaitu platform buat para peminat K-pop khususnya, pada hari pertama dan diikuti dengan pembelian untuk ahli akaun berdaftar Live Nation sebelum disusuli oleh jualan untuk masyarakat umum.

Menggunakan platform digital Go Live sebagai platform utama untuk pembelian tiket, tarikh 3 Jun sehingga 5 Jun menjadi tumpuan buat para peminat kumpulan ini.

Bagaimanapun, disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap tiket konsert, fenomena pembelian tiket konsert BTS kali ini bukan sahaja melibatkan persaingan sihat sesama peminat setia, malah turut dipengaruhi oleh kegiatan penipu tiket (scammer) dan pencatut tiket (scalper) yang mengambil kesempatan.

Buktinya, semasa prajualan ahli Weverse pada hari pertama, seramai 1.3 juta pembeli telah menunggu sama secara dalam talian untuk mendapatkan tiket. Jumlah yang luar biasa ini menyebabkan kesesakan pada sistem pembelian tiket.

Pembelian yang sepatutnya menjadi satu proses yang mudah dan lancar buat ahli kelab peminat, menjadi satu igauan apabila talian berjaya ditembusi oleh pembeli bukan ahli disebabkan kelemahan sistem pembelian yang disediakan.

Kesesakan yang timbul ini telah menutup peluang para peminat setia yang telah menunggu lama bukan sahaja dengan lebih empat jam menunggu secara dalam talian, malah sejak 11 tahun yang lalu.

Kejadian ini berturutan sehinggalah pada hari terakhir pembelian dengan pengumuman rasmi oleh pihak penganjur bahawa tiket habis terjual, meninggalkan para peminat yang gagal mendapatkan tiket dalam kekecewaan.

Melalui pemerhatian di laman sosial sepanjang tiga hari pembelian tiket berlangsung, aktiviti khidmat pembelian tiket, serta penjualan semula tiket dengan harga berkali ganda sangat aktif sejak hari pertama lagi, menyebabkan ramai peminat yang rugi.

Modus operandi sama digunakan oleh penipu tiket dengan menawarkan servis pembelian tiket berbayar kepada para peminat, di mana setiap khidmat mereka perlu dibayar dengan nilai serendah RM50 sehingga RM200, atau lebih tinggi.

Malah ada juga syarat awal ditetapkan di mana setiap pembelian yang tidak berjaya, wang perkhidmatan akan dipulangkan separuh, atau tidak dipulangkan langsung. Penipuan berlaku apabila penipu tiket ini menghilangkan jejak mereka sebaik sahaja wang diterima meninggalkan peminat terkesima dan kecewa.

Dalam masa yang sama, pencatut tiket turut berleluasa apabila mereka berjaya mendapatkan tiket dan menjual semula dengan harga yang lebih mahal berkali ganda sehingga tidak masuk akal dengan alasan sukar untuk mendapatkannya, serta permintaan yang tinggi daripada peminat luar negara.

Sebagai contoh, tiket pakej VIP beserta sesi soundcheck yang dijual pada harga rasmi adalah RM1,288, namun tiket yang sama sudah muncul di pasaran sekunder pada harga sekitar RM3,200 hingga RM3,288.

Jualan dibuat hanya beberapa jam selepas pra-jualan dibuka. Ini bermakna berlaku kenaikan sekitar 148% hingga 155% daripada harga asal. Jika dilihat secara umum, isu penipuan tiket konsert ini bukan baru sahaja berlaku tetapi sudah berulang kali terutamanya apabila melibatkan nama-nama besar.

Sebelum ini, situasi yang sama turut dilaporkan melibatkan konsert artis antarabangsa lain termasuk Coldplay, Blackpink dan My Chemical Romance. Namun, isu ini terus berulang kali berlaku seumpamanya tidak ada langkah tegas dan serius diambil oleh pihak penganjur dan pembekal tiket.

Ini menunjukkan bahawa masalah penipuan dan pencatutan tiket telah menjadi sebahagian daripada cabaran baharu dalam ekosistem hiburan digital masa kini terutamanya di platform media sosial.

Sudah tiba masanya langkah yang lebih serius diambil bagi mengelakkan para peminat terus menanggung kerugian bukan sahaja wang, tetapi juga masa dan tenaga fizikal serta mental.

Antara contoh langkah pengawalan tegas yang boleh diambil adalah, semasa waktu pra jualan tiket kepada ahli, kemasukan kod ahli dimasukkan seawal bilik menunggu, bukan selepas tamat beratur. Ini bagi memastikan hanya yang benar-benar ahli ditapis dan dibenarkan untuk menunggu giliran pembelian tiket.

Selain itu, penggunaan sistem tiket berasaskan identiti pemilik, had pembelian yang lebih ketat serta teknologi antibot juga perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan ruang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam masa yang sama, langkah ini juga dapat mengelakkan kesesakan dalam talian yang membawa kepada waktu menunggu yang lama.

Fenomena yang berlaku ini jelas menunjukkan bahawa media sosial bukan sahaja menjadi ruang perkongsian maklumat dalam kalangan peminat, malah turut berfungsi sebagai medium pemasaran tidak rasmi kepada penjualan tiket.

Dalam keadaan emosi dan keterujaan yang tinggi, peminat lebih mudah dipengaruhi oleh fenomena fear of missing out (FOMO), iaitu kebimbangan untuk terlepas peluang menyaksikan artis kegemaran mereka.

Keadaan ini menyebabkan sebahagian peminat membuat keputusan pembelian secara tergesa-gesa tanpa melakukan semakan yang sewajarnya, sehingga sanggup mengambil risiko membeli daripada pihak ketiga walaupun menyedari kemungkinan berlakunya penipuan.

Persoalannya, mengapa aktiviti penipuan dan pencatutan tiket ini terus berlaku walaupun telah berulang kali dilaporkan? Jawapannya terletak pada gabungan tiga faktor utama, iaitu permintaan yang terlalu tinggi, kemudahan transaksi digital serta kelemahan kawalan terhadap pasaran sekunder yang berleluasa.

Situasi ini secara tidak langsung mewujudkan ruang keuntungan yang besar kepada penipu dan pencatut tiket.

Pada akhirnya, perang tiket di platform media sosial bukan sekadar pertarungan antara peminat, penipu dan pencatut tiket, tetapi juga mencerminkan kelemahan dalam pengurusan sistem jualan digital yang membuka ruang kepada eksploitasi.

Dalam era ekonomi perhatian (attention economy), tiket konsert bukan lagi sekadar pas masuk ke sebuah persembahan, tetapi telah menjadi komoditi digital yang diperdagangkan demi keuntungan.

Selagi isu ini tidak ditangani secara serius oleh penganjur, penyedia platform dan juga pihak berkuasa, peminat akan terus menjadi pihak yang menanggung kerugian.

Bagi sebahagian peminat, tiket konsert bukan sekadar sekeping pas masuk ke sebuah persembahan, tetapi simbol penantian, kesetiaan dan impian yang disimpan selama bertahun-tahun.

Justeru, sistem jualan tiket yang adil dan telus bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan supaya impian yang disimpan tidak terkubur bersama sistem yang masih kabur.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Siti Aishah Mohammad Razi
Pensyarah
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
E-mel:siti.aishah@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.