
TEHRAN, 26 Julai – Iran mendakwa Ukraine menyerang salah sebuah kapal dagangnya di Laut Caspian, mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan seorang lagi, sambil memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan membiarkan kejadian itu tanpa tindakan balas.
- Zelensky mengesahkan serangan jarak jauh di Laut Caspian terhadap kapal yang membawa kargo ketenteraan berkaitan Iran dan sebuah kapal perang.
- Perkhidmatan risikan Ukraine (SBU) berkata dron menyerang kapal kargo yang dikenakan sekatan dan mengangkut kargo ketenteraan antara Iran dan Rusia.
- Iran memanggil pegawai diplomatik Ukraine, membantah tindakan itu, dan menggesa EU serta Majlis Keselamatan PBB memberi tindak balas tegas.
Dakwaan itu dibuat selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata Kyiv telah melancarkan serangan jarak jauh ke arah Laut Caspian terhadap kapal-kapal yang terlibat dalam penghantaran kargo ketenteraan berkaitan Iran, sekali gus menunjukkan dimensi antarabangsa yang semakin meluas dalam konflik perang Rusia-Ukraine.
Kementerian Luar Iran memaklumkan, serangan pada pagi Sabtu itu menyebabkan kapal berkenaan meletup, mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan seorang lagi.
Iran menegaskan negara itu tidak pernah campur tangan dalam konflik antara Rusia dengan Ukraine.
Pada Sabtu, Zelensky menerusi media sosial berkata angkatan tenteranya telah mencapai “hasil yang sangat kuat” menerusi serangan jarak jauh di Laut Caspian, termasuk terhadap kapal yang digunakan untuk penghantaran kargo ketenteraan berkaitan Iran serta sebuah kapal perang.
Perkhidmatan risikan Ukraine (SBU) pula memaklumkan menerusi aplikasi Telegram bahawa serangan dron telah dilakukan terhadap kapal kargo yang dikenakan sekatan antarabangsa dan digunakan untuk mengangkut kargo ketenteraan antara Iran dengan Rusia.
Menurut televisyen negara Iran, kementerian luar negara itu memanggil pegawai diplomatik Ukraine di Tehran bagi membantah “tindakan bermusuhan dan jenayah” tersebut.
Sementara itu, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam perbualan dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas menggesa EU dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberikan “tindak balas tegas” terhadap serangan itu. – AFP