23 hilang, kapal Vietnam karam di Laut China Selatan

Foto REUTERS

HONG KONG, 26 Julai – Pasukan penyelamat giat mencari 23 individu yang masih hilang selepas sebuah kapal Vietnam karam di laluan perairan sibuk Laut China Selatan, manakala 39 lagi berjaya diselamatkan dari laut, menurut penyiar negara China, CCTV.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal kargo Khoi Nguyen 18 karam berhampiran Fiery Cross Reef, dalam kawasan Kepulauan Spratly yang dipertikaikan.
  • Operasi mencari dan menyelamat melibatkan enam kapal China, sebuah helikopter penyelamat dan sebuah kapal Vietnam di lokasi kejadian.
  • China menuntut hampir keseluruhan laluan berstrategik dan mempersenjatai pulau buatan di Spratly; tuntutan itu bertindih Vietnam, Filipina, Taiwan, Malaysia dan Brunei.

Menurut pihak berkuasa di wilayah selatan Hainan, kapal kargo Khoi Nguyen 18, yang membawa 62 warga Vietnam, mengalami masalah di perairan berhampiran Fiery Cross Reef.

Isyarat kecemasan daripada kapal berkenaan pertama kali dikesan oleh kapal penyelamat China, Nanhai Jiu 115, pada petang Sabtu.

Enam kapal China, sebuah helikopter penyelamat dan sebuah kapal Vietnam menyertai operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Kapal berdaftar Vietnam berkenaan mempunyai panjang hampir 70 meter dengan berat kasar 999 tan.

Kawasan sekitar terumbu berkenaan merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian, yang dikenali China sebagai Kepulauan Nansha.

Kawasan itu terdiri daripada kumpulan terumbu, pulau kecil dan atol yang menjadi rebutan banyak negara di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber.

China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan laluan perairan strategik itu, termasuk Kepulauan Spratly, di mana Beijing telah membina landasan kapal terbang dan mempersenjatai beberapa pulau buatan.

Bagaimanapun, tuntutan luas China itu bertindih dengan tuntutan Vietnam, Filipina, Taiwan, Malaysia dan Brunei. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.