Kebakaran hutan dahsyat melanda Kanada, ribuan penduduk dipindahkan

Foto REUTERS

TORONTO, 24 Julai – Kanada berdepan antara musim kebakaran hutan paling buruk dalam rekod apabila kebakaran baharu terus tercetus di barat negara itu, manakala hutan di Ontario masih terbakar, menurut Perdana Menteri Mark Carney.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hampir 34,000 panahan kilat mencetuskan kebakaran di British Columbia; 25 arahan pemindahan dikeluarkan.
  • Ontario mencatat 139 kebakaran aktif, 32 masih belum terkawal di barat laut wilayah.
  • Kerajaan mengerahkan lebih 5,300 anggota bomba dan kira-kira 300 aset udara; Mexico hantar sehingga 200 anggota.
  • Kebakaran memusnahkan sekitar 2.95 juta hektar, melebihi purata 10 tahun; asap merebak ke bandar di Amerika Syarikat.

Di British Columbia, hampir 34,000 panahan kilat direkodkan dalam tempoh seminggu lalu mencetuskan kebakaran serta memaksa pihak berkuasa mengeluarkan 25 arahan pemindahan.

Sehingga Jumaat, sebanyak 90 kebakaran hutan masih aktif di wilayah itu.

Pihak berkuasa memberi amaran keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran sedia ada semakin merebak.

“Kemungkinan cuaca masih tidak memihak kepada kita,” kata Komander Insiden, Hugh Murdoch, yang mengetuai operasi memadam kebakaran berhampiran Kimberley, British Columbia.

Di Ontario pula, sebanyak 139 kebakaran hutan aktif direkodkan di kawasan barat laut wilayah itu, dengan 32 daripadanya masih belum berjaya dikawal.

Perdana Menteri, Mark Carney berkata kerajaan persekutuan akan mengerahkan lebih 5,300 anggota bomba dengan kira-kira 300 aset udara termasuk pesawat pengebom air, helikopter dan pesawat pemindahan bagi menangani krisis berkenaan.

Mexico turut akan menghantar sehingga 200 anggota bomba bagi membantu operasi pemadaman.

Ribuan penduduk, termasuk komuniti Orang Asli First Nations, telah dipindahkan sejak musim panas ini.

Kebakaran setakat ini telah memusnahkan kira-kira 2.95 juta hektar kawasan hutan, melebihi purata 10 tahun iaitu 2.55 juta hektar.

Asap daripada kebakaran turut bergerak ke beberapa bandar utama di Pantai Timur dan kawasan Barat Tengah Amerika Syarikat minggu lalu.

Kanada kini merekodkan lebih banyak kebakaran hutan aktif berbanding tempoh sama dalam dua tahun sebelumnya. – REUTERS

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.