
BORDEAUX, 26 Julai – Lebih 220,000 penduduk kini dipindahkan akibat kebakaran hutan besar melanda barat daya Perancis, memaksa penutupan lebuh raya dan laluan kereta api utama.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 42,000 hektar, antara yang terbesar di Perancis sejak Perang Dunia Kedua.
- Laluan lebuh raya A63 kira-kira 60 kilometer ditutup dan perkhidmatan kereta api SNCF ke selatan Bordeaux dihentikan.
- Kerja pemadaman dijangka lama; 1,500 anggota tentera dikerah membantu bomba dan penduduk tidak dibenarkan pulang sehingga benar-benar selamat.
Menurut pihak berkuasa, lebih 50,000 penduduk tambahan diarahkan meninggalkan kampung-kampung berhampiran Bordeaux yang kini berdepan ancaman api, menjadikan jumlah keseluruhan yang dipindahkan melebihi 220,000 orang.
Puluhan ribu lagi penduduk turut dipindahkan akibat kebakaran hutan lain di Perancis dan tengah Sepanyol.
Akibat kebakaran yang merebak dengan pantas dibantu angin kencang, kira-kira 60 kilometer laluan lebuh raya utama A63 dari Bordeaux ke sempadan Sepanyol ditutup.
Syarikat kereta api SNCF turut menghentikan perkhidmatan kereta api ke selatan Bordeaux.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata kebakaran itu akan mengambil masa yang lama untuk dikawal dan penduduk serta pelancong yang dipindahkan tidak akan dibenarkan kembali sehingga keadaan benar-benar selamat.
Menurut pihak berkuasa wilayah, kebakaran itu kini telah memusnahkan kira-kira 42,000 hektar kawasan tanah, menjadikannya antara kebakaran hutan terbesar di Perancis sejak Perang Dunia Kedua.
Kebakaran besar pada 1949 sebelum ini memusnahkan sekitar 50,000 hektar kawasan.
Tentera Perancis telah menghantar 1,500 anggota bagi membantu ratusan anggota bomba selepas hampir seminggu bertungkus-lumus memadam kebakaran.
Kapten bomba Nicolas Braz, salah seorang ketua operasi, berkata haba daripada kebakaran itu mencetuskan pusaran angin yang menyebabkan api menjadi sukar dijangka dan dikawal. – AFP