
SARATOK, 26 Julai – 18 penumpang bas dilaporkan selamat selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di persimpangan pusingan U berhampiran Simpang Pusa Saratok, awal pagi tadi.
- Pemandu pacuan empat roda berusia 55 tahun mengalami kecederaan, menerima rawatan awal dan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan.
- Kesemua 18 penumpang bas bersama pemandunya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
- Operasi JBPM bermula selepas panggilan kecemasan, pasukan tiba kira-kira 6.05 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 6.20 pagi.
Menurut kenyatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, (JBPM) Sarawak, pemandu pacuan empat roda berusia 55 tahun mengalami kecederaan.
Panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.21 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok tiba di lokasi kira-kira pukul 6.05 pagi.
Mangsa berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum diberikan rawatan awal dengan pemasangan alat sokongan leher dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, kesemua 18 penumpang bas bersama pemandunya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.20 pagi selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.