
SAUDARA PENGARANG
- Pengesahan identiti pengiklan penting untuk menghalang penyamaran, deepfake dan penyalahgunaan imej tokoh bagi melindungi pengguna daripada penipuan digital.
- Platform mesti jalankan semakan risiko sebelum siarkan iklan dan kenakan tapisan lebih ketat untuk iklan pelaburan, kewangan, kesihatan serta perjudian.
- Sediakan butang laporan mudah dan tingkatkan literasi digital supaya pengguna dapat melaporkan serta mengenal pasti iklan penipuan dengan berkesan.
Keputusan kerajaan mewajibkan pengesahan identiti kepada semua pengiklan yang menggunakan iklan berbayar di media sosial adalah satu langkah tepat, bahkan sangat mendesak.
Dalam era ekonomi digital, iklan tajaan bukan lagi sekadar alat pemasaran, tetapi menjadi laluan utama sindiket penipuan untuk menyamar sebagai pihak sah sekaligus memanipulasi emosi pengguna dan memperdaya mangsa melalui tawaran pelaburan, pinjaman, perjudian serta produk palsu.
Menurut laporan, syarat baharu di bawah Kod Pengurangan Risiko (RMC) ini akan terpakai kepada penyedia platform media sosial berlesen, khususnya yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia. Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan mengekang penipuan dalam talian, perjudian digital dan penyalahgunaan imej individu terkenal dalam iklan tajaan.
Sebagai ahli akademik, saya melihat isu ini bukan semata-mata isu undang-undang, tetapi isu reka bentuk ekosistem digital. Selama ini, platform media sosial memudahkan sesiapa sahaja membeli ruang iklan, tetapi proses mengenal pasti siapa pembayar sebenar kadangkala kabur.
Apabila berlaku penipuan, mangsa hanya melihat iklan tersebut di Facebook, TikTok, Instagram atau Telegram, sedangkan dalang sebenar menggunakan identiti palsu, akaun sementara atau entiti luar negara.
Kajian akademik turut menunjukkan bahawa penipuan dalam talian semakin kompleks kerana ia mengeksploitasi psikologi manusia. Faktor seperti kepercayaan, tekanan membuat keputusan dan kelemahan pengetahuan digital boleh mempengaruhi seseorang menjadi mangsa penipuan internet.
Kajian ahli akademik Ce Lyu dari Universiti Undang-Undang dan Sains Politik China pula mendapati tekanan dari segi masa boleh meningkatkan kerentanan pengguna terhadap penipuan dalam talian, terutama apabila mangsa didesak membuat keputusan segera.
Ayat seperti “peluang terhad”, “jaminan pulangan tinggi”, “hanya untuk 100 orang pertama” dan “daftar sekarang sebelum ditutup” sebenarnya direka untuk melemahkan pemikiran rasional pengguna.
Satu lagi ialah iklan yang menggunakan wajah tokoh terkenal, selebriti, agamawan, ahli politik atau pakar kewangan. Ia menjadikan tahap kepercayaan mangsa terus meningkat dengan cepat kerana wujudnya unsur “pinjaman kredibiliti”. Lebih membimbangkan, teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui “deepfake” kini membolehkan gambar, suara dan video seseorang dimanipulasi sehingga kelihatan sangat meyakinkan.
Inilah sebabnya pengesahan identiti pengiklan sangat penting, lantaran platform media sosial tidak boleh membenarkan pihak tidak bertanggungjawab bersembunyi di sebalik populariti dan reputasi orang lain untuk memperdaya masyarakat.
Namun, pengesahan identiti pengiklan tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian tunggal. Ia perlu digabungkan dengan beberapa lapisan kawalan lain.
Pertama, platform mesti menjalankan semakan risiko terhadap kandungan iklan sebelum disiarkan, bukan hanya bertindak selepas mangsa membuat laporan. Pendekatan ini lebih berkesan kerana ia mencegah iklan berbahaya daripada tersebar, berbanding hanya memadam iklan selepas ribuan pengguna melihatnya atau selepas ada mangsa membuat laporan.
Kedua, iklan berkaitan pelaburan, kewangan, kesihatan dan perjudian perlu melalui tapisan lebih ketat kerana bidang ini berisiko tinggi. Dalam isu pelaburan dan kewangan, mangsa boleh kehilangan simpanan hidup hanya kerana mempercayai iklan palsu yang kelihatan profesional.
Dalam bidang kesihatan pula, iklan produk atau rawatan tidak sah boleh membahayakan nyawa pengguna, khususnya warga emas dan pesakit kronik.
Ketiga, pengguna perlu diberikan butang untuk membuat laporan yang mudah, pantas dan benar-benar ditindaklanjuti. Pada masa ini, ramai pengguna mungkin melihat iklan palsu tetapi tidak melaporkannya kerana proses laporan terlalu rumit atau mereka tidak yakin laporan itu akan diberi perhatian.
Platform perlu menyediakan butang laporan yang jelas, contohnya “Laporkan Iklan Penipuan”, dan bukan sekadar kategori umum yang mengelirukan.
Pada masa yang sama, pendidikan literasi digital mesti diperkukuh. Kajian pakar kriminologi Emma Mouncey berkaitan “phishing” di Instagram menunjukkan bahawa kesedaran dan pendidikan antipenipuan masih penting kerana ramai pengguna belum benar-benar memahami teknik penipuan di media sosial.
Ini bermakna undang-undang dan teknologi sahaja tidak mencukupi jika rakyat masih mudah mempercayai iklan palsu. Pengesahan identiti untuk iklan tajaan ialah langkah asas bagi membina semula kepercayaan dalam ruang digital. Prinsipnya mudah: sesiapa yang mahu menjual, mempromosi atau mempengaruhi rakyat melalui iklan berbayar mesti berani dikenal pasti.
Kebebasan berniaga dalam talian perlu dipertahankan, tetapi ia tidak boleh menjadi lesen untuk menipu. Dalam dunia digital hari ini, keselamatan pengguna mesti menjadi sebahagian daripada reka bentuk platform, bukan sekadar tanggungjawab mangsa selepas ditipu.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Ahmad Wiraputra Selamat
Pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)