
KOTA TINGGI, 26 Julai – Seorang suri rumah mengalami kerugian hampir RM1120,000 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
- Mangsa, 58 tahun, membuat lapan pemindahan wang ke lapan akaun berbeza antara 19 hingga 24 Julai selepas dijanjikan pulangan lumayan.
- Iklan Facebook menawarkan pakej pelaburan serendah RM300 dengan janji pulangan RM15,000 dalam tempoh dua jam.
- Mangsa membuat pembayaran berperingkat sehingga RM119,599.24 dan sedar ditipu apabila gagal menerima pulangan seperti dijanjikan.
- Kes disiasat bawah Seksyen 420; polis nasihatkan hubungi NSRC 997, semak akaun (Semak Mule) dan guna aplikasi Whoscall.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa berusia 58 tahun membuat lapan transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza antara 19 hingga 24 Julai selepas dijanjikan pulangan lumayan menerusi skim pelaburan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa tertarik selepas melihat iklan pelaburan itu di Facebook yang menawarkan pakej pelaburan serendah RM300 dengan janji pulangan RM15,000 dalam tempoh dua jam.
“Susulan itu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat sehingga jumlah keseluruhan transaksi mencecah RM119,599.24 bagi mendapatkan pulangan yang dijanjikan.
“Dia menyedari dirinya ditipu apabila gagal menerima pulangan seperti yang dijanjikan selepas membuat beberapa pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak berdaftar atau menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan hubungi segera National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan awal diambil untuk menyekat pengaliran wang daripada akaun suspek,” katanya.
Tambah beliau, semak nombor akaun melalui perkhidmatan Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi kepada individu yang tidak dikenali serta muat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.