
LOS ANGELES, 26 Julai – Bintang Inter Miami, Lionel Messi, tidak diwajibkan beraksi dalam perlawanan Major League Soccer (MLS) All-Star 2026 selepas mewakili Argentina sehingga ke pentas final Piala Dunia 2026.
- MLS dan Persatuan Pemain MLS bersetuju pengecualian untuk pemain Piala Dunia sebelum bermulanya musim 2026.
- Setiap kelab akan runding tempoh rehat dan masa sesuai kembali berlatih serta beraksi selepas kejohanan.
- Musim lalu, dua pemain digantung satu perlawanan selepas tidak menghadiri pertandingan All-Star pada saat akhir.
MLS dalam satu kenyataan memaklumkan, pengecualian itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai antara liga dan Persatuan Pemain MLS sebelum bermulanya musim 2026.
Menurut kenyataan tersebut, setiap kelab akan berbincang dengan pemain yang beraksi di Piala Dunia bagi menentukan tempoh rehat serta masa sesuai untuk kembali menjalani latihan dan aksi kompetitif selepas tamat kejohanan.
“Sehubungan itu, Messi dan rakan sepasukannya di Inter Miami, Rodrigo De Paul, diberikan pelepasan daripada menyertai perlawanan MLS All-Star yang dijadual berlangsung di Charlotte, North Carolina pada Rabu.
“Kedua-dua pemain itu baru sahaja membantu Argentina mara ke final Piala Dunia sebelum tewas 0-1 kepada Sepanyol menerusi masa tambahan dalam aksi yang berlangsung di New Jersey,” menurut kenyataan itu.
Musim lalu, pemain berusia 39 tahun itu serta seorang lagi pemain, Jordi Alba digantung satu perlawanan MLS selepas tidak menghadiri perlawanan All-Star pada saat akhir.
Hukuman tersebut dikenakan selepas peraturan mewajibkan semua pemain yang disenaraikan untuk turun ke padang, kecuali atas faktor kecederaan atau pengecualian yang diluluskan.
Walaupun tanpa penyertaan Messi, perlawanan MLS All-Star tahun ini dijangka tetap menarik perhatian dengan kehadiran beberapa pemain ternama termasuk Son Heung-min dari Los Angeles FC, Thomas Müller dari Vancouver Whitecaps serta kapten pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Tim Ream, yang mewakili Charlotte FC. – AFP