KWSP, PNB dan KWAP sokong syarikat laksana prinsip MY Value Up

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memperuntukkan sebahagian modal masing-masing bagi menyokong syarikat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap penciptaan nilai serta pelaksanaan prinsip MY Value Up.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh agenda MY Value Up dengan mengiktiraf syarikat bertadbir urus kukuh, pengurusan modal baik dan ketelusan tinggi.
  • MY Value Up inisiatif kerjasama Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia untuk meningkatkan penilaian, ketelusan dan daya tarikan syarikat tersenarai.
  • Program menggalakkan syarikat menjelaskan strategi pertumbuhan dan menilai prestasi melalui perbandingan dengan pesaing di peringkat global.
  • Kerajaan mahu pasaran modal berkualiti menyokong ekosistem perusahaan dan berkongsi manfaat kepada PKS, usahawan, belia, TVET serta komuniti luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu bertujuan memperkukuh agenda MY Value Up, selain memastikan syarikat yang mengamalkan tadbir urus kukuh, pengurusan modal lebih baik serta tahap ketelusan lebih tinggi diberi pengiktirafan sewajarnya oleh pasaran.

Menurut beliau, inisiatif itu juga akan memastikan syarikat berkenaan mendapat perhatian bukan sahaja daripada pasaran, tetapi juga pelabur institusi terbesar negara.

“Ini adalah isyarat penting. Malaysia mahu pasaran modal yang bukan sahaja besar, tetapi lebih baik, yang memberi ganjaran kepada disiplin, kebertanggungjawaban dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Kami mahu syarikat Malaysia ditadbir dengan lebih baik, dinilai lebih tinggi serta lebih bersedia untuk bersaing di peringkat serantau dan global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan program MY Value Up yang merupakan inisiatif kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia bagi meningkatkan penilaian, ketelusan serta daya tarikan syarikat tersenarai awam di Malaysia.

Program berkenaan menggalakkan syarikat terkemuka untuk memperjelas strategi pertumbuhan mereka serta menilai prestasi berdasarkan perbandingan dengan syarikat setara di peringkat global.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan turut mahu manfaat pertumbuhan ekonomi dan pasaran modal turut dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, belia, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), komuniti luar bandar serta pusat pertumbuhan wilayah.

Katanya, pasaran modal yang kukuh bukan sahaja perlu menyokong syarikat besar, tetapi turut mengukuhkan ekosistem perusahaan, inovasi dan peluang yang lebih luas.

Beliau turut menegaskan bahawa fasa seterusnya pembangunan pasaran modal negara perlu berteraskan bukan sahaja kepada saiz, tetapi juga kualiti, memandangkan pelabur kini semakin menuntut tadbir urus lebih kukuh, peruntukan modal lebih baik serta hala tuju strategik yang lebih jelas.

Dalam pada itu, beliau berkata pasaran modal Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila saiznya mencecah RM4.3 trilion pada 2025, iaitu lebih dua kali ganda daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Dana yang berjaya dikumpulkan meningkat kepada RM187.7 bilion, manakala sebanyak 60 tawaran awam permulaan (IPO) telah disenaraikan. Pasaran modal Islam juga berkembang kepada RM2.7 trilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.