Ragbi Piala Agong: Negeri Sembilan tewaskan ATM, tempah aksi suku akhir

Foto FB Malaysia Rugby

SUBANG, 6 Jun – Pasukan Ragbi Negeri Sembilan menundukkan Pasukan Ragbi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Ragbi Piala Agong 2026 dengan kemenangan 40-39 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung penuh dramatik di Stadium TUDM Subang, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • ATM membuka jaringan awal melalui sepakan penalti Naibuka Katea Raco Ladiniwasa.
  • Negeri Sembilan bangkit dengan try Tomasi Tawake, Mohamad Nurazman Ramli dan Vilikesa Kurobolo; mendahului 20-13 separuh masa pertama.
  • Babak kedua Negeri Sembilan melebarkan jurang kepada 35-13 selepas Naibuka dilayangkan kad kuning kedua; ATM bangkit pada minit akhir.
  • Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan akan berdepan PDRM, manakala ATM akan menentang Kelantan; Putrajaya pula mara ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan bagi menentukan laluan ke peringkat suku akhir dengan ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Naibuka Katea Raco Ladiniwasa.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan bangkit menerusi beberapa try yang disumbangkan antaranya oleh Tomasi Tawake, Mohamad Nurazman Ramli dan Vilikesa Kurobolo untuk mendahului 20-13 pada penghujung separuh masa pertama.

Momentum Negeri Sembilan diteruskan pada babak kedua apabila mereka melebarkan kedudukan sehingga 35-13, dibantu kelebihan pemain selepas ATM kehilangan Naibuka Katea yang dilayangkan kad kuning kedua.

ATM bagaimanapun tidak mengalah dan melancarkan kebangkitan menerusi beberapa try berturut-turut untuk merapatkan jurang mata kepada 39-40 pada minit-minit akhir.

Namun, Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kelebihan tipis itu sehingga wisel penamat bagi meraih kemenangan berharga.

Keputusan tersebut menyaksikan Negeri Sembilan bakal berdepan PDRM dalam aksi suku akhir, manakala ATM akan menentang Kelantan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Putrajaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan Kedah 45-32 di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang siang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Putrajaya akan bertemu Terengganu pada aksi suku akhir minggu hadapan, manakala Kedah tersingkir daripada saingan Piala Agong 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.