Sze Fei-Nur Izzuddin cipta kejutan ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia

Pasangan profesional badminton lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia selepas menewaskan beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menang separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta selepas aksi sengit; skor 21-18, 17-21, 21-16 dalam 56 minit.
  • Menanti di pentas akhir ialah sama ada pasangan pilihan keenam dari Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani atau Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.
  • Ini merupakan final ketiga pasangan dalam Jelajah Dunia BWF musim ini, dengan kejayaan terbaik juara Indonesia Masters pada Januari.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, gandingan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menang aksi berkenaan 21-18, 17-21, 21-16 dalam tempoh 56 minit.

Menanti Sze Fei-Nur Izzuddin di pentas akhir esok ialah sama ada pasangan pilihan keenam kejohanan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani atau gandingan senegara mereka, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir lewat malam ini.

Untuk rekod ini, ini adalah final ketiga buat pasangan Malaysia dalam kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini dengan pencapaian terbaik menjadi juara Indonesia Masters Januari lepas. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.