Datuk Seri Fahmi ucap takziah atas pemergian DJ Zack

Allahyarham ‘DJ Zack’ ditemukan tidak sedarkan diri di pejabatnya semalam / Foto FB Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 23 September – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat serta warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak atas pemergian penyampai radio RED FM, Azrani Azmi atau lebih dikenali sebagai DJ Zack.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan takziah kepada keluarga, rakan, dan warga RTM Sarawak atas pemergian DJ Zack.
  • Allahyarham ialah Azrani Azmi, lebih dikenali sebagai DJ Zack, penyampai radio RED FM.
  • Fahmi menyifatkan beliau penyiar berdedikasi, disenangi rakan sekerja dan sentiasa komited menjalankan tugas.
  • Media melaporkan Allahyarham berusia 47 tahun dan disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.

Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Fahmi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang penyiar berdedikasi, disenangi rakan sekerja serta sentiasa komited menjalankan tugas.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Allahyarham yang berusia 47 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di pejabatnya di RTM Sarawak, Kuching, semalam.

Adiknya, NurFarrah Hanna Azmi berkata, Allahyarham ditemukan rakan sekerja kira-kira 8.40 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya, petang tadi selepas jenazah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, Kuching.

Solat jenazah diadakan di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, Kuching. / Foto RTM

Anak sulung daripada dua beradik itu telah berkhidmat bersama RTM Sarawak selama lebih 15 tahun.

Pengurus RED FM, Uji Morni menyifatkan Allahyarham sebagai penyampai yang serba boleh.

“Allahyarham sangat berbakat, bukan sahaja sebagai seorang juruhebah, malah dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Bagi Pengelola RED FM, Nitasha Nozmi, kehilangan Allahyarham cukup dirasai kerana beliau dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga RED FM.

“Allahyarham bukan hanya pekerja RED FM, tetapi kawan yang hari-hari kita jumpa, sudah seperti keluarga” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen TV, RTM Sarawak, Muhamat @ Razali Baba pula menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada warga RTM Sarawak.

“Pada hari ini kita kehilangan seorang rakan, sahabat baik dan petugas yang begitu komited,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.