Negeri Sembilan perkemas taktikal menjelang suku akhir Piala Agong 2026

Ketua Jurulatih Ragbi Negeri Sembilan, Mohd Mazuri Sallehudin / RTM

SUBANG, 6 Jun – Pasukan Ragbi Negeri Sembilan akan memanfaatkan tempoh seminggu sebelum aksi suku akhir Piala Agong 2026 untuk memperkemaskan aspek taktikal dan memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti sepanjang saingan peringkat kumpulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu tingkatkan mutu permainan menjelang pertemuan menentang juara bertahan PDRM.
  • Barisan kejurulatihan telah kenal pasti kelemahan taktikal; perancangan pasukan akan dinilai semula.
  • Fokus pada keseimbangan antara pemain utama dan simpanan; kemasukan simpanan mengganggu rentak permainan dan perlu diperbaiki.

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Mazuri Sallehudin berkata, pasukannya perlu meningkatkan mutu permainan menjelang pertemuan menentang juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), minggu depan.

Menurut beliau, barisan kejurulatihan telah mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki, khususnya dari segi pelaksanaan taktikal serta keseimbangan pasukan ketika berdepan lawan yang lebih mencabar.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan suku akhir menentang juara bertahan, PDRM. Kita akan menilai semula perancangan pasukan dan menggunakan tempoh seminggu ini untuk memperkemaskan aspek taktikal serta persediaan menghadapi mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan keseimbangan antara pemain utama dan pemain simpanan menjadi antara fokus utama pasukan menjelang aksi seterusnya di suku akhir.

“Bagi perlawanan seterusnya, kami akan melihat kepada keseimbangan antara pemain utama dan pemain simpanan. Pemain simpanan sepatutnya memberi impak positif, namun dalam perlawanan hari ini kemasukan mereka sedikit mengganggu rentak permainan. Perkara itu telah dikenal pasti dan akan diperbaiki supaya tidak berulang,” katanya.

Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium TUDM Subang, Negeri Sembilan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 40-39 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Keputusan itu menyaksikan ATM akan menentang Kelantan pada perlawanan suku akhir, manakala satu lagi aksi mempertemukan Putrajaya dan Terengganu. Kedah pula tersingkir daripada saingan Piala Agong 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.