KBS lulus RM7 juta naik taraf Stadium Darul Makmur

Sultan Pahang berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st dan Piala Al-Sultan Abdullah malam tadi/ Facebook Wan Rosdy bin Wan Ismail

KUANTAN, 7 Jun- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta kepada Pahang bagi kerja-kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja naik taraf melibatkan lampu limpah, pendawaian dan tempat duduk di Stadium Darul Makmur berkapasiti 40,000 penonton.
  • Tender projek dibuka bulan ini dan pelaksanaan akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.
  • Exco Fadzli Mohamad Kamal menyatakan usaha tiga tahun menukar lampu dan tempat duduk akhirnya tertunai, dan padang sudah berada pada tahap dunia.
  • Majlis sama turut menyaksikan perlawanan persahabatan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor serta kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar.

Peruntukan itu melibatkan kerja naik taraf sistem lampu limpah, pendawaian serta tempat duduk penonton di stadium berkapasiti 40,000 penonton berkenaan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata tender bagi projek tersebut akan dibuka bulan ini dan pelaksanaannya akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.

“Saya gembira kerana padang kita sudah berada pada tahap dunia, dan kini kita menambah baik fasiliti lain seperti lampu limpah dan tempat duduk penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st dan Piala Al-Sultan Abdullah yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) telah memohon peruntukan berkenaan pada 2024 bagi tujuan menaik taraf kemudahan stadium.

Sebelum ini, kerja naik taraf padang Stadium Darul Makmur bernilai RM1.6 juta melibatkan penukaran rumput daripada Cow Grass kepada Bermuda Grass telah disiapkan.

Pada majlis sama, perlawanan persahabatan bola sepak turut diadakan antara pasukan Pilihan Pahang dan Pilihan Selangor.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.