
TUMPAT, 6 Jun – Cadangan mewujudkan aktiviti ekonomi baharu bagi membantu penduduk yang terjejas dengan tindakan perobohan jeti-jeti haram di kawasan sempadan sepanjang Sungai Golok akan dibincangkan dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri Kelantan esok.
- MKN menganggap jeti haram ancaman keselamatan negara, dikaitkan dengan penyeludupan termasuk bahan api bersubsidi.
- Kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan dan keprihatinan terhadap kebajikan penduduk terjejas.
- Pendekatan melibatkan penguatkuasaan sambil mengambil kira kebajikan dan sumber pendapatan masyarakat.
- Sehingga 29 April, 91 jeti haram dirobohkan; keseluruhan jeti di sempadan Sungai Golok berjumlah 216.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata kerajaan memandang serius isu jeti haram yang dikenal pasti sebagai antara ancaman keselamatan negara khususnya membabitkan kegiatan penyeludupan termasuk bahan api bersubsidi.
“Kerajaan Persekutuan dan Negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan khususnya mewujudkan aktiviti-aktiviti ekonomi di kawasan penempatan tersebut.
“Justeru, kita kena bersikap adil kepada mereka yang tingga di situ dan kita mengambil serius isu ini. Isu ini akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat yang akan diadakan esok,” jelas beliau.
Mesyuarat Keselamatan Negeri Kelantan dijadual diadakan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, esok.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesepaduan Nasional @ Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya pendekatan yang diambil ketika ini tidak hanya tertumpu aspek penguatkuasaan, malah mengambil kira kebajikan dan sumber pendapatan masyarakat yang terjejas.

Setakat 29 April, sebanyak 91 jeti haram yang dibina atas tanah milik kerajaan telah dirobohkan.
Jumlah keseluruhan jeti di kawasan sempadan Sungai Golok adalah sebanyak 216 jeti dengan sebahagian daripadanya dibina atas tanah milik individu.