
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti menerusi penganjuran PNB Signature Volunteerism Day 2026 dengan penglibatan lebih 700 sukarelawan yang dijalankan serentak menerusi 25 cawangan ASNB di seluruh negara.
- Memperkukuh komitmen kelestarian dan kesejahteraan komuniti sebagai sebahagian daripada budaya kerja PNB.
- Program di Pantai Kelanang menanam 1,000 pokok bakau dan membersih pantai, mengumpul kira-kira 381 kilogram sisa.
- Sukarelawan bantu baik pulih infrastruktur komuniti, usaha dijalankan bersama agensi tempatan dan merekodkan ribuan jam sukarelawan.
Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, budaya kesukarelawanan bukan sekadar dijadikan sebagai aktiviti sokongan, sebaliknya sebahagian daripada cara kerja organisasi dalam menyumbang kembali kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Di PNB kami percaya, kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui prestasi kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana kita mampu mencipta nilai kepada masyarakat, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan membina masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi salah satu program yang dianjur di Pantai Kelanang, Banting, Selangor sahaja, sebanyak 1,000 pokok bakau dan pesisir pantai telah ditanam bagi memperkukuh perlindungan kawasan pantai dan menyokong pemulihan ekosistem.
“Usaha ini turut dilengkapi dengan inisiatif pembersihan pantai dan kawasan bakau yang telah menyaksikan pengumpulan kira-kira 381 kilogram sisa dari sekitar persisir pantai.
“Sukarelawan juga menyumbang kepada penambahbaikan infrastruktur komuniti melalui kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan kemudahan utama, termasuk pusat kitar semula, menara penyelamat, kawasan rekreasi dan taman permainan kanak-kanak,” katanya lagi.
Memasuki tahun kedua penganjuran, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Persatuan Pencinta Alam Malaysia serta komuniti setempat.
“Sejak pelaksanaan Rangka Kerja Kesukarelawanan pada 2025, warga kerja PNB telah menyumbang 11,880 jam sukarelawan menerusi 51 program di seluruh negara.
“Bagi tahun 2026 pula, PNB menyasarkan sekurang-kurangnya 11,000 jam sukarelawan, dengan 7,921 jam telah direkodkan setakat Mei lalu,” katanya lagi.
PNB menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya kesukarelawanan serta memacu impak positif kepada komuniti dan alam sekitar di Malaysia.