
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Enam individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol menerusi serbuan di sebuah stor di Pengkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.
- PGA jalankan pemerhatian dan mengesan beberapa kenderaan mencurigakan sebelum melancarkan serbuan.
- Tiga lelaki didapati sedang menyedut petrol dari tangki kenderaan ke dalam tong plastik, manakala yang lain berada sekitar stor.
- Petrol dibeli pada RM4.20 seliter dan dijual ke Thailand pada harga lebih tinggi; urus niaga mencecah sehingga 60 tong sehari.
- Rampasan termasuk empat kenderaan, 255 liter petrol, sebuah beg dan wang tunai melebihi RM100,000; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan selepas pasukan PGA menjalankan pemerhatian dan mengesan beberapa kenderaan memasuki premis berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, tiga lelaki didapati sedang menyedut petrol dari tangki kenderaan ke dalam tong plastik, manakala tiga lagi suspek berada di sekitar stor tersebut.
Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 53 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan petrol.
Siasatan awal mendapati empat suspek berperanan membeli petrol di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat sebelum menjualnya kepada seorang pembeli utama yang mengendalikan operasi di stor berkenaan.
Menurut Ahmad Radzi, suspek utama mengaku menyewa stor tersebut pada kadar RM400 sebulan dan menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira dua tahun lalu.
Beliau berkata, petrol dibeli pada harga RM4.20 seliter sebelum dijual semula ke Thailand pada harga lebih tinggi, dengan kapasiti urus niaga mencecah sehingga 60 tong sehari.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat kenderaan, 255 liter petrol, sebuah beg serta wang tunai dianggarkan melebihi RM100,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.