
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Belanjawan 2027 dijangka dirangka dengan pendekatan lebih berhemat bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, tanpa mengabaikan kebajikan rakyat serta usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara.
- Sasaran defisit fiskal sekitar tiga peratus dan penekanan pada perancangan kewangan yang lebih teliti dan berdisiplin.
- Perbelanjaan pembangunan dioptimumkan supaya berkesan tanpa membebankan kedudukan fiskal negara.
- Pelaksanaan perbelanjaan kerajaan lebih efektif untuk kurangkan pembaziran, ketirisan dan mengekang amalan rasuah.
- Subsidi disusun lebih berstruktur dan bantuan tunai disasarkan untuk pengurusan sumber kewangan yang lebih cekap.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ke arah itu kerajaan dijangka mengambil kira cabaran ekonomi semasa selain menyasarkan defisit fiskal pada kadar tiga peratus.
Perbelanjaan pembangunan juga dijangka akan dioptimumkan bagi memastikan kewangan kerajaan dapat dikawal tanpa menjejaskan agenda pembangunan negara disokong perancangan lebih teliti dan berdisiplin.
“Apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa Belanjawan 2027 akan disusun dengan lebih berfokus mengikut keutamaan, ia menunjukkan bahawa walaupun kerajaan akan berbelanja secara lebih berhemah, kebajikan rakyat tetap menjadi antara keutamaan utama yang akan terus diberi perhatian.
“Berkemungkinan akan berlaku beberapa pelarasan terhadap perbelanjaan pembangunan supaya ia lebih berkesan dan tidak terlalu membebankan kedudukan fiskal kerajaan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Pada masa sama, beliau berpandangan setiap perbelanjaan kerajaan perlu dilaksanakan secara lebih efektif bagi mengurangkan risiko pembaziran, ketirisan serta mengekang amalan rasuah yang boleh menjejaskan kecekapan penggunaan dana awam.
Mengulas mengenai bantuan kepada rakyat, Dr. Ahmed Razman menyatakan bahawa pelaksanaan subsidi secara lebih berstruktur dan berfokus serta bantuan tunai lebih bersasar membantu kerajaan mengurus sumber kewangan dengan lebih cekap.
Kesinambungan kepada langkah yang diambil akan memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.