Keuntungan bersih Petronas susut RM283 juta pada suku pertama 2026

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Mei Petronas Dagangan Bhd (PDB) melaporkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM283 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2026 berbanding RM293.50 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos dan perbelanjaan produk lebih tinggi menurunkan sumbangan segmen komersial.
  • Keuntungan kasar segmen runcit meningkat susulan kenaikan harga Mean of Platts Singapore (MOPS).
  • Hasil meningkat disokong harga jualan purata lebih tinggi dan jumlah jualan lebih kukuh.
  • PDB fokus memastikan bekalan boleh dipercayai, kualiti perkhidmatan konsisten, kecekapan operasi dan pengurusan kos berdisiplin.

Dalam pemfailan Bursa Malaysia hari ini, PDB memaklumkan, prestasi itu didorong oleh kos dan perbelanjaan produk lebih tinggi yang menurunkan sumbangan segmen komersial.

Menurut syarikat itu, keuntungan lebih rendah itu sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi daripada segmen runcit berikutan pergerakan menaik dalam harga Mean of Platts Singapore (MOPS).

Sementara itu, hasil meningkat kepada RM11.15 disokong oleh harga jualan purata lebih tinggi dan jumlah jualan lebih kukuh.

“Jumlah keseluruhan jualan meningkat tujuh peratus tahun ke tahun, didorong peningkatan jumlah jualan dipacu pertumbuhan jualan petrol (Mogas) menerusi pengalaman pelanggan yang lancar melalui Setel susulan pelaksanaan BUDI95, selain permintaan komersial yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, tumpuan syarikat ketika ini adalah untuk memastikan pelanggan terus bergerak dengan bekalan bahan api boleh dipercayai, kualiti perkhidmatan konsisten dan kemudahan pelanggan di sebalik ketidaktentuan pasaran.

“Prestasi suku pertama mencerminkan kekuatan perniagaan teras kami dan disiplin pasukan kami. Kami akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan keutamaan pelanggan sambil bertindak pantas terhadap tekanan kos dan pasaran,” katanya.

Tambah beliau, walaupun keadaan pasaran kekal dinamik, syarikat yakin terhadap keupayaannya mengharungi cabaran dalam segmen runcit dan komersial, selain memperkukuh tawaran nilai kepada pelanggan sambil menjana nilai jangka panjang.

Mengulas mengenai prospek, PDB memaklumkan, situasi geopolitik di Asia Barat kekal tegang dengan trajektori konflik yang tidak menentu mengukuhkan keperluan untuk kekal berhati-hati, susulan potensi gangguan terhadap bekalan tenaga global serta rantaian bekalan dunia.

“Dalam persekitaran itu, PDB kekal memberi tumpuan kepada memperkukuh keutamaan strategiknya dan meningkatkan kecekapan operasi menerusi penglibatan pelanggan yang lebih mendalam serta pengurusan kos yang berdisiplin,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.