AI buka peluang baharu industri media, usahawan baharu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 MeiTeknologi kecerdasan buatan (AI) kini diiktiraf sebagai pemangkin utama dalam memacu transformasi digital negara, sekali gus membuka peluang pasaran baharu yang lebih luas buat industri media tempatan dan golongan usahawan muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI mempercepat penciptaan kandungan dan bahan pemasaran secara pantas, efisien dan kos efektif.
  • Mereka yang tidak memanfaatkan AI berisiko ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa.
  • AI harus menjadi alat untuk meningkatkan keupayaan manusia, bukan menggantikan atau mengancam pekerjaan.
  • Program latihan dan literasi AI oleh kerajaan serta sektor swasta membantu merapatkan jurang digital dan literasi teknologi.

Pakar Teknologi, Aifa Majura berkata penggunaan teknologi pintar itu bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti penyampaian, malah berupaya merancakkan pertumbuhan ekonomi digital menerusi kaedah pengurusan operasi dan pemasaran yang lebih dinamik serta kos efektif.

“Dari segi penyediaan pelan pemasaran, poster operasi mahupun perancangan strategi pemasaran, kecerdasan buatan (AI) dilihat sangat membantu dalam menghasilkan pelbagai bahan tersebut. AI turut memudahkan proses penciptaan kandungan dengan lebih pantas dan efisien.

“Jika tidak digunakan atau dimanfaatkan secara optimum, seseorang itu berkemungkinan akan ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa”, katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kebimbangan pasaran kerja, Aifa menegaskan bahawa kehadiran teknologi berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut ancaman sebaliknya sebagai ruang peningkatan keupayaan diri.

“Isu ini bukanlah tentang AI menentang manusia, sebaliknya manusia yang menggunakan AI secara maksimum merupakan pihak yang akan meraih peluang paling besar dalam era digital ini,” katanya selepas Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Tambah beliau, dari sudut pembangunan masyarakat digital, penggunaan AI turut dilihat mampu meningkatkan literasi teknologi dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus menggalakkan penggunaan internet yang lebih produktif dan berfaedah.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna agar sentiasa menekankan aspek keseimbangan bagi memastikan instrumen berkenaan kekal menjadi alat yang memperkasa pemikiran serta produktiviti, dan bukannya memanipulasi keupayaan manusia.

Bagi menyokong agenda itu, pelbagai inisiatif latihan dan program literasi AI yang kini aktif ditawarkan oleh pihak kerajaan serta sektor swasta dilihat berada pada landasan tepat untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.