Pembangunan tenaga kerja aeroangkasa negara atasi sasaran MAIB 2030

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin/RTM

SUBANG, 22 MeiPembangunan tenaga kerja mahir dalam industri aeroangkasa negara mencatat kemajuan lebih awal daripada sasaran ditetapkan, bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri aeroangkasa menggaji hampir 35,000 pekerja berkemahiran tinggi termasuk MRO serta pembuatan.
  • Pencapaian itu menunjukkan hala tuju pembangunan industri berada pada landasan kukuh menuju status hab MRO serantau.
  • Pembukaan fasiliti BMM SIAEC menambah kapasiti operasi dan mencipta peluang pekerjaan tempatan, operasi bermula 350 dijangka meningkat kepada 700.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sektor aeroangkasa termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan kini menggaji hampir 35,000 pekerja berkemahiran tinggi, melepasi sasaran awal lebih 30,000 pekerja menjelang 2030.

Menurut beliau, pencapaian itu menunjukkan hala tuju pembangunan industri aeroangkasa negara berada pada landasan kukuh, seiring usaha Malaysia menjadi hab MRO utama di rantau ini.

“Ini melibatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memerlukan tahap profesionalisme yang sangat tinggi. Pada saya, di situlah kekuatan Malaysia.

“Seperti yang saya beritahu, Malaysia mempunyai 34,700 pekerja berkemahiran tinggi dalam industri aeroangkasa, dan 12,000 daripadanya berada dalam sektor MRO,” katanya selepas menyempurnakan pembukaan rasmi fasiliti Base Maintenance Malaysia, BMM.

Pembukaan fasiliti milik SIA Engineering Company, SIAEC itu turut memberi limpahan langsung kepada pembangunan tenaga kerja tempatan, dengan operasi bermula sekitar 350 pekerja dan dijangka meningkat kepada 700 pekerja menjelang tahun depan.

Fasiliti yang baru dibuka itu merupakan sebahagian daripada rangkaian penyelenggaraan asas serantau SIAEC, bagi menambah kapasiti operasi selain hangar di Singapura dan Filipina.

Ia mempunyai dua hangar yang mampu menyokong kerja penyelenggaraan pesawat berbadan lebar dan kecil, termasuk Airbus A350, Boeing 777 dan Boeing 787.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.