Lebihan dagangan bukti ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff/RTM

KUALA LUMPUR, 22 Mei –Lebihan dagangan Malaysia yang berterusan membuktikan ekonomi negara kekal berdaya tahan, walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk krisis tenaga dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan kukuh sektor elektrik dan elektronik, terutamanya berkaitan teknologi AI, kenderaan hibrid dan semikonduktor, menyokong perkembangan perdagangan.
  • Peningkatan permintaan mikrocip dari rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat dan China terus menyokong eksport negara.
  • Jumlah perdagangan melonjak dan mencipta rekod baharu bagi tempoh awal tahun, mencerminkan momentum positif ekonomi luaran.
  • Konflik geopolitik meningkatkan kos logistik dan gangguan rantaian bekalan, namun kepelbagaian sektor menawarkan peluang kalis krisis.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi perdagangan Malaysia bagi empat bulan pertama tahun ini menunjukkan perkembangan positif yang didorong permintaan kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E), khususnya berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), hibrid dan semikonduktor.

Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap mikrocip dari rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China terus menyokong pertumbuhan eksport negara.

“Pola menunjukkan eksport kita, import kita kekal kukuh, kita masih lagi menghasilkan lebihan dagangan lebih daripada 70 bulan dan itu sebenarnya satu petanda yang memberikan gambaran bahawa ekonomi kita ini bukan yang mudah terkesan tetapi kekal resilient ataupun mantap,” katanya ketika ditemui selepas program Biz Malaysia, hari ini.

Terdahulu, jumlah perdagangan Malaysia melonjak 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026 sekali gus mencipta sejarah baharu.

Eksport negara melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion, sekali gus mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, Profesor Dr. Ahmed Razman berkata, konflik geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan global serta meningkatkan kos logistik dan perkapalan berpotensi memberi kesan kepada permintaan perdagangan dunia.

Beliau berkata, ketidaktentuan global boleh menyebabkan pengurangan permintaan terhadap pelbagai barangan eksport, namun Malaysia masih mempunyai peluang kerana kepelbagaian sektor ekonomi dan industri yang dimiliki negara.

“Apa yang boleh berlaku ialah kurangnya permintaan untuk pelbagai barangan dan kita sebagai negara eksport turut boleh menerima kesan.

“Namun saya melihat kerana kita mempunyai kepelbagaian sektor dan industri ada peluang di sebalik setiap krisis Iaitu apabila kita lihat potensi untuk Malaysia menawarkan barangan dan perkhidmatan yang kalis krisis itu tetap ada,” katanya.

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.