INSKEN salur RM5 juta perkasa perusahaan sosial

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyalurkan RM5 juta bagi memperkasa perusahaan sosial tempatan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, akses pasaran dan penarafan perusahaan sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • INSKEN diberi mandat menerajui pembangunan perusahaan sosial sejak 2022 selaras usaha Kerajaan MADANI memperkukuh sektor sebagai pemacu ekonomi inklusif negara.
  • Perusahaan sosial penting ketika ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan, menumpu penyelesaian isu masyarakat dan alam sekitar melalui perniagaan mampan.
  • INSKEN laksana inisiatif kapasiti, penarafan, akses pasaran dan sokongan; 3,875 peserta manfaat; 600 entiti menerima penarafan setakat ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pelaburan itu dilaksanakan selepas INSKEN diberi mandat menerajui pembangunan perusahaan sosial sejak 2022 selaras usaha Kerajaan MADANI memperkukuh sektor berkenaan sebagai antara pemacu ekonomi inklusif negara.

Menurut beliau, model perusahaan sosial kini semakin penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, krisis bekalan global dan perubahan sosial.

Katanya, perusahaan sosial bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada penyelesaian isu masyarakat dan alam sekitar melalui pendekatan perniagaan yang mampan dan kreatif.

“Sebagai contoh, masyarakat yang semakin menua pada masa depan memerlukan lebih banyak perkhidmatan penjagaan komuniti dan sokongan sosial yang juga boleh diterajui menerusi model perusahaan sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk sesi libat urus bersama pemain industri, klinik penarafan perusahaan sosial, persidangan antarabangsa serta program pengukuhan jaringan dan akses pasaran di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Sehingga kini, seramai 3,875 peserta menerima manfaat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh INSKEN.

Dalam tempoh enam bulan lalu, INSKEN turut memperuntukkan RM200,000 bagi membantu 20 entiti perusahaan sosial memperluas pasaran serta impak kepada komuniti melalui peluang pembelian produk dan perkhidmatan, subsidi operasi, penyertaan acara dan padanan perniagaan strategik.

Pada masa sama, Steven menyarankan lebih banyak perusahaan sosial mendapatkan penarafan perusahaan sosial melalui INSKEN bagi meningkatkan kredibiliti serta akses kepada pembiayaan, pengecualian cukai dan pelbagai bentuk sokongan kerajaan.

Setakat ini, sebanyak 600 entiti perniagaan telah menerima penarafan perusahaan sosial melalui INSKEN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.