
KUALA LANGAT, 22 Mei – Dua premis memproses sisa elektronik (e-waste) di Kuala Langat, Selangor digempur semalam, dengan rampasan 347 tan metrik sisa elektronik serta peralatan pemprosesan bernilai lebih RM1.25 juta.
- 24 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 19 hingga 50 tahun ditahan dalam Op Hazard.
- Serbuan serentak di stor dan premis pemprosesan, rampasan pelbagai mesin seperti compressor, dust collector, mesin cucian, oven dan tong gas.
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 19 serta Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan penahanan operasi 14 hari.
- Majlis Perbandaran kenakan kompaun RM1,000 dan notis henti operasi; PSK lapor 158 serbuan dan 335 tangkapan tahun ini.
Menurut Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar, menerusi Op Hazard, warga asing berusia 19 hingga 50 tahun ditahan; melibatkan 24 lelaki dan seorang wanita.
“Dua serbuan serentak dijalankan di lokasi berasingan yang dipercayai dijadikan stor dan premis pemprosesan sisa elektronik.
“Antara yang dirampas termasuk pelbagai mesin dan peralatan seperti compressor, dust collector, mesin cucian, oven, tong gas, penimbang serta alat kawalan pencemaran udara.
“Siasatan dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 18&19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Sek 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu penahan operasi selama 14 hari,”menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat turut mengeluarkan kompaun RM1,000 serta notis pemberhentian operasi atas kesalahan pelesenan perniagaan.
“Secara keseluruhan, bagi tempoh 1 Januari sehingga 22 Mei 2026, PSK Jabatan KDNKA Bukit Aman telah berjaya melancarkan sebanyak 158 serbuan di seluruh negara.
“Seramai 335 orang telah berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e – waste,“menurut kenyataan sama.