UPSI meterai MoU bersama lima industri terkemuka negara

FOTO UPSI

TANJONG MALIM, 22 Mei – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama lima industri terkemuka tanah air, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri melalui kolaborasi berterusan dalam pendidikan dan pembangunan profesional.
  • Menggiatkan pembangunan kandungan digital serta sinergi dengan industri kreatif, media, komunikasi dan teknologi hijau.
  • Menyediakan peluang latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja, projek industri, bimbingan profesional dan portfolio kompetitif untuk pelajar.
  • Menggalakkan penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran profesional dan pelaksanaan projek komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, langkah itu memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademik dan industri.

“Kerjasama itu memperkukuh pembangunan kandungan digital serta mempererat sinergi antara dunia akademik dan industri kreatif, media, komunikasi serta teknologi hijau.

“Ia juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja, projek industri, bimbingan profesional serta pembangunan portfolio yang lebih kompetitif dan relevan dengan keperluan semasa industri,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, kerjasama terbabit turut memberi pelbagai peluang strategik, termasuk pembangunan kandungan kreatif, penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran profesional serta pelaksanaan projek komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sementara menurut Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan SKOP Production, Datuk Dr. Yusuf Haslam, kolaboratif antara institusi pendidikan dan industri kreatif amat penting dalam memperkukuh pembangunan industri media negara yang kini berkembang pesat seiring perubahan era digital.

“Kerjasama strategik tersebut akan memberi peluang kepada pelajar UPSI mendekati realiti sebenar industri termasuk proses pembangunan idea, penulisan skrip, produksi, pengurusan kandungan digital serta aspek profesionalisme dan disiplin kerja.

“Selama lebih tiga dekad dalam industri perfileman dan televisyen, saya percaya pembangunan modal insan merupakan pelaburan paling penting dalam memastikan kelangsungan industri kreatif negara,” katanya.

Majlis MoU itu menyaksikan SKOP Production diwakili Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan, Datuk Dr. Yusuf; Pengarah Aaron Aziz Production, Datin Diyana Halik; Ketua Operasi, NOIR Health & Beauty, Muhammad Azri Che Noh; Pengarah Eksekutif, Maxbell Sdn. Bhd, Lee Yan Zhong serta Ketua Pegawai Eksekutif, OH MY MEDIA (OMM), Mohd Fadhlur Mohd Rosli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.