
BAITULMAQDIS, 22 Mei – Program Makanan Sedunia (WFP) mendakwa Israel telah mengarahkannya menghentikan operasi bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Turkiye di Gaza selepas organisasi itu diklasifikasikan sebagai pertubuhan pengganas kerana menyokong Hamas.
- Penggantungan menghentikan kira-kira 111,000 hidangan makanan sehari.
- Kira-kira 55,000 ibu hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil terjejas, berisiko mengalami kekurangan zat makanan.
- WFP memberi amaran 1.7 juta penduduk Gaza kini berdepan keselamatan makanan amat rapuh; bantuan perlu diteruskan tanpa gangguan.
Jurucakap WFP berkata Tel Aviv mengarahkan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu menghentikan segera pembekalan bahan api dan semua aktiviti bersama Yayasan Bantuan Kemanusiaan (IHH).
“Tindakan itu menjejaskan bantuan kepada lebih 166,000 penduduk yang bergantung kepada makanan panas harian, roti dan sokongan nutrisi untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan.
IHH menyediakan bantuan kemanusiaan dan operasi mencari serta menyelamat di seluruh dunia dan mula bekerjasama dengan WFP di Gaza pada Januari 2024.
Menurut WFP, kerjasama dengan IHH diwujudkan ketika Gaza berdepan keperluan mendesak, terutama bagi menyalurkan bantuan ke kawasan yang sukar mendapat akses.
Agensi itu turut menegaskan IHH telah melalui proses saringan ketat sebelum kerjasama dimulakan.
Israel pada Khamis telah mengarahkan WFP menghentikan semua penyelarasan dengan IHH selepas mendakwa agensi PBB itu memindahkan bahan api di Gaza kepada organisasi berkenaan.
Zionis turut menuduh IHH mempromosikan flotila yang cuba memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Susulan itu, WFP melahirkan kebimbangan terhadap kesan besar arahan tersebut terhadap operasi bantuan di Gaza yang musnah akibat peperangan.
“Tindakan penggantungan ini menghentikan kira-kira 111,000 hidangan makanan sehari serta bantuan penting kepada kira-kira 55,000 ibu hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil yang berisiko mengalami kekurangan zat makanan,” kata jurucakap agensi itu.
Menurut WFP, kira-kira 1.7 juta penduduk Gaza kini berdepan keselamatan makanan yang amat rapuh dan operasi bantuan kemanusiaan perlu diteruskan tanpa gangguan bagi memastikan bantuan menyelamatkan nyawa dapat disalurkan kepada orang awam.