
BRUSSELS, 22 Mei – Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk mengenakan sekatan baharu terhadap pegawai Iran dan pihak yang bertanggungjawab menyekat Selat Hormuz.
- Majlis Eropah menyatakan keputusan dibuat susulan sekatan Iran terhadap laluan perdagangan minyak dan gas yang dianggap bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
- Negara anggota EU bersetuju memperluaskan skop sekatan sedia ada supaya lebih ramai individu boleh dikenakan tindakan.
- Langkah dijangka termasuk larangan perjalanan dan pembekuan aset; EU belum menamakan individu atau entiti yang disasarkan.
- Warganegara serta syarikat dari negara anggota EU dilarang menyalurkan dana, aset kewangan atau sumber ekonomi kepada pihak disenarai hitam.
Menurut Majlis Eropah, keputusan tersebut dibuat susulan sekatan Iran terhadap laluan utama perdagangan minyak dan gas dunia itu yang disifatkan sebagai bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Sebagai langkah awal, negara anggota EU bersetuju memperluaskan skop sekatan sedia ada terhadap Iran bagi membolehkan lebih ramai individu dikenakan tindakan di bawah mekanisme itu.
“Langkah sekatan tambahan tersebut sebagai tindak balas terhadap tindakan Iran yang menjejaskan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz,” menurut kenyataan Majlis Eropah yang mewakili negara anggota EU.
Bagaimanapun, EU belum menamakan individu atau entiti yang bakal dikenakan sekatan baharu itu.
Antara langkah yang dijangka dikenakan termasuk larangan perjalanan dan pembekuan aset.
Warganegara serta syarikat dari negara anggota EU turut dilarang menyalurkan dana, aset kewangan atau sumber ekonomi lain kepada individu dan entiti yang disenarai hitam.
EU sebelum ini mengenakan sekatan terhadap Iran susulan sokongan ketenteraan negara berkenaan terhadap Rusia dalam perang di Ukraine serta bantuan kepada kumpulan bersenjata di Asia Barat.
Blok serantau itu juga pernah mengenakan sekatan terhadap Tehran berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia.