Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, namun risiko luaran meningkat – AMRO

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ekonomi Malaysia masih mempamerkan daya tahan dalam persekitaran luaran yang mencabar susulan peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan dijangka kukuh tetapi sederhana pada 2026 dan kembali stabil pada 2027 disokong permintaan domestik serta eksport elektronik.
  • Prospek berdepan risiko penurunan akibat konflik geopolitik, ketegangan perdagangan serta kelembapan dalam ledakan kecerdasan buatan.
  • AMRO menasihatkan dasar monetari menyokong kredit domestik sementara kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal, pengkajian subsidi RON95 dan pembaikan pentadbiran cukai.

Menurut laporan terbaharu Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), ekonomi dijangka berkembang kukuh, namun sederhana pada 2026 sebelum kembali stabil pada tahun 2027 dipacu permintaan domestik serta eksport elektronik.

”Daya tahan ekonomi Malaysia mencerminkan kekuatan dasar makroekonomi negara yang disokong aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh, inflasi terkawal dan keadaan kewangan yang stabil.

”Namun, prospek ini masih berdepan risiko penurunan yang mencerminkan ketidaktentuan luaran termasuk konflik geopolitik yang memuncak, ketegangan perdagangan serta kelembapan dalam ledakan kecerdasan buatan (AI),” jelas AMRO dalam Laporan Perundingan Tahunan Malaysia 2026.

Mengenai dasar monetari, AMRO berpandangan pendirian dasar semasa perlu terus menyokong pertumbuhan kredit domestik dan ekonomi.

Pada masa sama, Bank Negara Malaysia (BNM) disaran terus memantau tekanan inflasi dan risiko terhadap kestabilan kewangan secara berhati-hati.

Sementara itu, AMRO menggalakkan usaha konsolidasi fiskal yang berterusan oleh kerajaan bagi mengurangkan hutang awam dan memperkukuh ruang fiskal negara.

”Langkah itu termasuk menilai semula mekanisme subsidi petrol RON95 untuk membolehkan lebih banyak sumber disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan yang mampu meningkatkan produktiviti serta bantuan sosial bersasar.

”Penambahbaikan pentadbiran dan pematuhan cukai serta reformasi tadbir urus juga mampu meningkatkan kecekapan fiskal dan akauntabiliti sektor awam”, katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.