
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Malaysia terlepas peluang mengesahkan slot awal ke suku akhir selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan kedua Kumpulan C acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.
- Malaysia bermula longlai, tewas 8-15 pada set pertama.
- Muhammad Shahalril Aiman masuk menggantikan Muhammad Fetri, membantu menang set kedua 15-11.
- Korea Selatan lebih konsisten dan menutup set penentuan 15-13.
- Malaysia wajib tewaskan India malam ini; jurulatih akan kaji dan perbaiki strategi.
Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Fetri Mohd Azwadi, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman bermula longlai apabila tewas 8-15 pada set pertama.
Malaysia bagaimanapun bangkit pada set kedua selepas Muhammad Shahalril Aiman Halim dimasukkan menggantikan Muhammad Fetri, sekali gus membantu pasukan mengikat kedudukan menerusi kemenangan 15-11.
Pada set penentuan, Korea Selatan yang dibarisi Jeong Wondeok, Jeong Hasung, Lim Taegyun dan Kim Hyeongjong mempamerkan aksi lebih konsisten dalam pertarungan sengit sebelum menoktahkan kemenangan 15-13.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia wajib menewaskan India dalam aksi seterusnya pada pukul 9.30 malam ini untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir.
Jurulatih kuadran negara, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif berkata anak buahnya akan menggunakan masa berbaki beberapa jam untuk membuat penilaian terhadap kekuatan India yang turut memberi tumpuan kepada acara kuadran.
“Jadi, kita pun tahu kekuatan India macam mana. Insya-Allah kita akan kaji, bincang semula strategi supaya permainan kita lebih baik,” katanya selepas perlawanan.