
BIRMINGHAM, 16 Mei – Ollie Watkins meledak dua gol ketika Aston Villa menewaskan Liverpool 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Jumaat, sekali gus mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
- Villa naik ke tangga keempat dengan 62 mata, memintas Liverpool yang mengumpul 59 mata.
- Liverpool terus tertekan selepas kekalahan ke-12 musim ini dan hanya satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.
- Villa berkeyakinan tinggi menjelang final Liga Europa menentang SC Freiburg di Istanbul minggu depan.
Kemenangan itu melonjakkan Villa ke tangga keempat liga dengan 62 mata daripada 37 perlawanan, memintas Liverpool yang kini mengumpul 59 mata daripada jumlah perlawanan yang sama.
Liverpool pula terus tertekan dalam perebutan tiket Liga Juara-Juara selepas mengalami kekalahan ke-12 musim ini dan hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.
Morgan Rogers membuka jaringan buat Villa pada penghujung babak pertama sebelum kapten Liverpool, Virgil van Dijk menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua.
Namun, Watkins kembali meletakkan Villa di depan sebelum John McGinn melengkapkan kemenangan bergaya pasukan bimbingan Unai Emery menerusi jaringan menarik pada penghujung permainan.
Van Dijk sempat menjaringkan gol kedua Liverpool pada masa kecederaan, namun ia gagal mengubah keputusan perlawanan.
“Kami tahu kami perlu menamatkan tugas ini. Kemenangan ini membolehkan kami menikmati fRabu depan dengan lebih tenang.
“Dia (Watkins) jelas kecewa pada bulan Mac (diketepikan daripada skuad England) tetapi jika ia memberinya semangat, dia pastinya bertindak balas dengan cara yang terbaik.
“Kami sangat bernasib baik kerana memilikinya, apa yang telah dilakukannya untuk kelab ini sejak beberapa musim lalu adalah luar biasa. Semoga dia dapat meneruskannya minggu depan,” kata McGinn kepada Sky Sports.
Villa kini bersedia menghadapi perlawanan akhir Liga Europa UEFA menentang SC Freiburg di Istanbul minggu depan dengan keyakinan tinggi selepas memastikan tempat ke Liga Juara-Juara.- Reuters