Slot yakin Liverpool mampu bangkit, optimis kejar Liga Juara

Pengurus Liverpool, Arne Slot/Foto REUTERS

LONDON, 15 Mei – Pengurus Liverpool, Arne Slot tetap yakin pasukannya mampu bangkit selepas tewas 2-4 kepada Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalahan menjatuhkan Liverpool ke tangga kelima, menjejaskan peluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
  • Slot tidak memikirkan masa depannya; mahu pasukan fokus baki saingan, terutama perlawanan menentang Brentford.
  • Kombinasi sokongan penyokong dan peningkatan prestasi boleh membantu Liverpool kembali ke Liga Juara-Juara.
  • Masalah pertahanan menjadi kebimbangan utama; terlalu banyak dibolosi dan kesilapan yang membawa kepada gol perlu diperbaiki.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool jatuh ke tangga kelima liga, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan.

Kedudukan The Reds juga boleh dipintas Bournemouth sekiranya kelab itu mencatat kemenangan dalam aksi seterusnya.

Meskipun berdepan tekanan susulan prestasi tidak konsisten pasukan, Slot menegaskan beliau tidak memikirkan soal masa depannya dan mahu seluruh pasukan memberi fokus kepada baki saingan musim ini.

“Ia bukan mengenai saya, tetapi tentang kami yang kecewa dengan keputusan ini.

“Fokus kami sekarang ialah perlawanan menentang Brentford minggu depan dan memastikan kami mendapat sokongan penyokong dengan memulakan permainan secara agresif serta positif,” katanya kepada BBC.

Menurut Slot, kombinasi sokongan peminat dan peningkatan prestasi mampu membantu Liverpool mencapai sasaran utama mereka iaitu kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dalam perlawanan di Villa Park itu, Aston Villa menjaringkan empat gol dan hampir menambah jaringan lain selepas berjaya menembusi pertahanan Liverpool beberapa kali.

Slot mengakui kelemahan benteng pertahanan pasukan menjadi kebimbangan utama sepanjang musim ini.

“Kami telah melepaskan terlalu banyak gol musim ini. Sukar untuk dipercayai jika tidak mengalaminya sendiri dan itulah yang berlaku hari ini.

“Villa adalah pasukan yang lebih baik dan mereka mengawal permainan. Ia mengecewakan semua pihak termasuk pemain, kakitangan dan penyokong,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kesilapan yang membawa kepada gol kedua Villa, termasuk situasi melibatkan Dominik Szoboszlai, sebagai sesuatu yang malang namun menegaskan pasukannya tahu apa yang perlu diperbaiki menjelang aksi berikutnya.-Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.