Insentif baharu diteliti, galak penggunaan trak EV

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (duduk, kanan) pada Majlis Perasmian Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026, di sini / BERNAMA

SERI KEMBANGAN, 14 Mei– Pemberian insentif termasuk pengecualian cukai sedang diteliti kerajaan bagi menggalakkan penggunaan trak elektrik (EV) dalam industri pengangkutan komersial negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan trak EV masih rendah kerana kosnya jauh lebih tinggi berbanding trak biasa.
  • Kekurangan kemudahan pengecasan menghalang peralihan, perlu ekosistem lengkap termasuk rangkaian stesen pengecasan.
  • Kerajaan anggap peralihan kepada EV penting untuk mengurangkan kebergantungan terhadap diesel dan beban subsidi bahan api.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Pasukan Petugas EV minggu depan.

Menurut beliau, penggunaan trak EV di Malaysia masih rendah ketika ini berikutan kosnya yang jauh lebih tinggi berbanding trak biasa.

“Keadaan itu menjadi antara faktor utama yang menyukarkan pengusaha melakukan peralihan kepada teknologi tersebut.

Kerajaan sedang melihat apakah bentuk insentif yang boleh diberikan termasuk melalui cukai bagi membantu merendahkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026, di sini, hari ini.

Anthony memaklumkan, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kurang daripada 10 trak EV beroperasi di negara ini.

Katanya, selain kos kenderaan, kekurangan kemudahan pengecasan turut menjadi cabaran kepada peralihan penggunaan trak EV.

“Kalau kita mahu galakkan penggunaan trak EV, mesti ada ekosistem lengkap terutama dari segi stesen pengecasan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut melihat peralihan kepada EV sebagai langkah penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap diesel susulan subsidi bahan api itu yang terus meningkat.